JOHOR TARIK PELABURAN RM360 JUTA DALAM SEKTOR DIGITAL
Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM360 juta bagi menyokong pembangunan pusat data di bawah pemaju terkemuka dari China, GDS Holdings Ltd. (GDS Holdings) sekali gus merancakkan ekosistem rantaian bekalan industri tersebut.
GDS Holdings yang telah melabur sebanyak RM14.33 bilion menerusi dua pusat data di Nusajaya Tech Park (NTP) dan Kempas Tech Park turut membawa masuk lima syarikat besar untuk mengembangkan lagi sektor digital di negeri ini, seterusnya membuka 700 peluang pekerjaan.
Lima syarikat yang menandatangani perjanjian strategik bersama GDS Holdings adalah Longmotive (M) Sdn. Bhd., EPG Data Center Module Sdn. Bhd., Wasion Energy Technology Co. Ltd., CoolTech Solution Sdn. Bhd. dan Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn. Bhd.
Selain perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat terlibat, GDS Holdings juga menandatangani perjanjian sama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Multimedia (MMU) bagi melahirkan tenaga kerja mahir demi memenuhi keperluan sektor digital di Johor.
Kerajaan Negeri komited menyediakan tenaga kerja mencukupi dan berkualiti menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) selain memastikan pengurusan sumber tenaga mampan dan optimum sebagai menyokong pembangunan pusat data melalui jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital menyempurnakan perasmian Persidangan Ekosistem Rantaian Bekalan Pusat Data GDS di Hotel DoubleTree by Hilton Johor Bahru.
Turut hadir, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor