JOHOR SEDIA SELARAS CUTI HUJUNG MINGGU
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi pelaksanaan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Kerajaan Negeri yakin keputusan berkenaan bakal memberi manfaat dari segi masa lebih berkualiti bersama keluarga pada hujung minggu kepada Bangsa Johor dan memberi kesan yang positif kepada ekonomi negeri tanpa mengetepikan kepentingan urusan Solat Jumaat kepada mereka beragama Islam.
Jadual waktu bekerja jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di negeri ini akan diselaraskan semula mengikut pelaksanaan di peringkat persekutuan seiring dengan perubahan berkenaan selain Kerajaan Negeri menetapkan supaya waktu rehat bagi sektor swasta dilanjutkan kepada dua jam pada hari jumaat.
Bagi memastikan pelajar-pelajar lelaki beragama Islam dapat menunaikan Solat Jumaat juga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Jabatan Mufti Negeri Johor akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menambah bilangan surau termasuk surau atau dewan berada di dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria.
Perkara tersebut dizahirkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang merupakan belanjawan ‘surplus’ pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
Pada bulan lalu, atas perkenan dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan daripada JAINJ, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mengumumkan cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
#BelanjawanJohor2025
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor