JOHOR SUPER LANE DIPERKENALKAN
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen bagi mempercepat dan memudahcara pelaburan ke negeri ini menerusi inisiatif Johor Super Lane (JSL) di Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).
JSL di IMFC-J akan diperkenalkan sebagai sebuah platform penyeragaman proses dan peningkatan ‘ease of doing business’ di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) , jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Inisiatif tersebut merupakan manifestasi kepada Kulai Fast Lane (KFL) yang menjadi tanda aras, rujukan dan ikutan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri ini dan juga di beberapa negeri lain seperti Melaka dan Selangor.
Pelaksanaan JSL akan menjimatkan masa sebanyak dua tahun kepada proses pemajuan tanah yang belum mempunyai Kebenaran Merancang Susun Atur dipendekkan daripada 37 bulan kepada 13 bulan sahaja selain lesen operasi perniagaan dikeluarkan dalam tempoh satu jam sahaja selepas Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikemukakan.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM300,000 dalam Belanjawan Johor 2025 bagi IMFC-J yang berperanan sebagai Pusat Sehenti Pelaburan Negeri Johor dengan melibatkan kerjasama erat semua agensi berkaitan pelaburan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta PBT.
Terdahulu, inisiatif KFL dalam memendekkan tempoh kelulusan CCC kepada 14 hari berbanding 30 hari serta kelulusan lesen operasi kepada sehari berbanding 30 hari mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu.
#BelanjawanJohor2025
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor