KERAJAAN JOHOR PEDULI KEBAJIKAN GURU KAFA
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap isu kebajikan dan kewangan guru-guru Kelas Fardu Ain (KAFA) melalui usaha menambah baik perjalanan karier dengan keutamaan untuk diserap ke jawatan guru agama Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ).
Sebanyak 631 jawatan tetap dan kontrak guru SAKJ telah dibuka pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini yang menyaksikan seramai 245 guru KAFA telah diserap ke jawatan tetap manakala 96 lagi dilantik secara kontrak.
Menerusi Belanjawan Johor 2025 dibentangkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar, sebanyak 300 jawatan kosong guru agama akan dibuka dengan keutamaan diberikan kepada guru-guru KAFA berpengalaman mengajar di SAKJ sekali gus menterjemah pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada golongan berkenaan.
Selain itu, guru KAFA yang berkhidmat di negeri ini juga akan menerima insentif khas kecemerlangan sebanyak dua bulan gaji seperti diumumkan pada minggu lalu atau minimum RM1,500 sebagai menghargai jasa dan khidmat dicurahkan dalam mendidik murid di sekolah-sekolah agama Negeri Johor.
YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjawab soalan YB Tuan Mohd Yusla Ismail, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Senggarang berhubung usaha menambah baik elaun dan kebajikan guru KAFA pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor