JOHOR PERKUKUH SISTEM PENGANGKUTAN AWAM, TUMPU KURANGKAN KESESAKAN TRAFIK

Usaha itu akan menumpukan kepada kaedah bagi memudahkan pergerakan harian rakyat, selain mengurangkan kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru khususnya menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura. | Foto FB Fazli Salleh.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus mempergiat usaha dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih cekap menerusi penyelarasan bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan inisiatif pengangkutan awam negeri berjalan dengan lancar.
Usaha itu akan menumpukan kepada kaedah bagi memudahkan pergerakan harian rakyat, selain mengurangkan kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru khususnya menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Antara tumpuan utama peluasan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) Johor Bahru 2.0 yang diluncurkan baru-baru ini bagi meningkatkan akses perkhidmatan bas, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
Kerajaan Negeri juga turut memberi perhatian kepada cadangan perolehan 12 set tren baharu KTM Komuter Selatan bagi meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan, selain penyelarasan Projek Menaik Taraf Infrastruktur dan Sistem Landasan Berkembar (KVDT2) untuk meningkatkan kelancaran perjalanan tren, khususnya ke Johor Bahru.
Keselamatan landasan turut diberi perhatian apabila isu kerosakan pagar keselamatan akibat pencerobohan gajah liar di jajaran Mengkibol-Rengam turut diperkukuh bagi memastikan keselamatan penumpang serta kelangsungan operasi tren menerusi kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Johor (PERHILITAN) dan agensi berkaitan.
Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan bagi membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan saling berhubung, demi meningkatkan keselesaan perjalanan rakyat serta menyokong kelancaran pergerakan di bandar raya Johor Bahru.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan pertemuan bersama YBhg. Dr. Nor Fuad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOT, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#PengangkutanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



