BELANJAWAN 2027 MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN BANGSA JOHOR

Bagi Johor, pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan prinsip kemakmuran bersama agar hasil pembangunan bukan sekadar tercatat dalam angka, sebaliknya turut dirasai oleh Bangsa Johor.

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Belanjawan 2027 bukan sekadar perancangan kewangan negara, tetapi ia menjadi ‘waad’ atau komitmen kerajaan untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pendapatan dan memperluas kesejahteraan rakyat. Bagi Johor, pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan prinsip kemakmuran bersama agar hasil pembangunan bukan sekadar tercatat dalam angka, sebaliknya turut dirasai oleh Bangsa Johor.
2. Antara inisiatif yang digariskan pada belanjawan kali ini ialah pengurangan kadar cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang layak, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan berjumlah RM57 bilion serta peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian. Langkah ini membuka ruang kepada perniagaan untuk berkembang, meningkatkan daya saing dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan oleh pihak industri.
3. Kepentingan langkah ini dapat dilihat melalui prestasi ekonomi Johor yang mencatat pertumbuhan 8.0 peratus pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM170.9 bilion. Pada tahun sama, sebanyak RM110 bilion pelaburan telah diluluskan, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri dan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
4. Dalam tempoh empat tahun lalu, Johor menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion yang mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan baharu. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pula merekodkan pelaburan RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026, manakala Nexus Sedenak pula berpotensi menarik pelaburan RM12 bilion dan menyediakan sehingga 45,000 peluang pekerjaan.
5. Dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global, Johor perlu terus menata strategi pembangunan bagi memanfaatkan peluang dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan termaju dan ekonomi digital. Pada masa sama, kejayaan menarik pelaburan perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti agar rakyat tempatan turut menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.
6. Melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan diselaraskan mengikut keperluan industri dengan lebih 8,500 anak muda Johor berjaya memperoleh pekerjaan berpendapatan melebihi RM4,000 sebulan. Usaha ini penting bagi memastikan anak muda tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut menjadi peserta aktif dalam pembangunan ekonomi negeri.
7. Selain pembangunan bakat, PMKS juga perlu diberikan ruang untuk berkembang bersama syarikat besar melalui penyertaan dalam rantaian bekalan dan pemadanan perniagaan. Sokongan Belanjawan 2027 melengkapi usaha Johor memperkukuh jenama ‘Made in Johor’ serta meningkatkan daya saing syarikat tempatan. Apabila perniagaan berkembang, limpahan ekonomi akan mewujudkan kesan berantai melalui pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pertumbuhan perniagaan setempat.
8. Namun, kemakmuran ekonomi perlu bergerak seiring dengan perlindungan sosial supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Di peringkat Persekutuan, rakyat yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan kedua-dua program berjumlah RM16 bilion bagi 2027. Di peringkat negeri pula, Bantuan Kasih Johor (BKJ) menjadi instrumen yang melengkapi sokongan tersebut menerusi bantuan bersasar mengikut kategori dan kelayakan penerima.
9. Di bawah Belanjawan Johor 2026, sebanyak RM157 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BKJ menerusi 23 inisiatif yang telah memanfaatkan lebih 330,000 penerima, termasuk anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal, petani, nelayan, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan pelajar. Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan RM47.13 juta bagi BKJ Fasa 4 kategori rayuan, sekali gus meneruskan sokongan kepada rakyat yang memerlukan.
10. Seiring dengan pendekatan berteraskan ihsan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Program Infaq Jumaat Johor sebagai usaha menyantuni masyarakat dan sedang mempertimbangkan kesinambungan BKJ ke Fasa Kelima dalam Belanjawan Johor 2027. Usaha ini mencerminkan kepentingan menyeimbangkan agenda pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan Bangsa Johor.
11. Kepentingan memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat turut ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang menyifatkan pertumbuhan ekonomi Johor sebagai permulaan baik bagi memastikan hasil yang diraih negeri dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Penegasan ini membawa mesej bahawa kejayaan ekonomi tidak seharusnya terhenti pada angka pelaburan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat.
12. Dari sudut keupayaan fiskal, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada tahun lalu membentangkan Belanjawan Johor 2026 dengan unjuran hasil negeri sebanyak RM2.55 bilion dan lebihan RM4.45 juta. Dalam pada itu, Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG) telah merekodkan hasil sebanyak RM1.7 bilion lebih awal daripada jadual sasaran pada September lalu.
13. Sekiranya momentum kutipan hasil ini berterusan, Belanjawan Johor 2027 berpotensi menyediakan ruang yang lebih
luas untuk memperkukuh peruntukan pembangunan dan kebajikan, tertakluk kepada kedudukan kewangan serta keutamaan perbelanjaan negeri.
14. Kebajikan rakyat turut berkait rapat dengan pemilikan rumah dan kemudahan asas. Di Johor, lebih 20,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah siap dan diduduki, manakala 42,694 unit lagi diluluskan untuk pembangunan sehingga 2030. Dalam dasawarsa pembangunan yang mendatang, infrastruktur, pengangkutan, bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan kesihatan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi supaya kemajuan negeri dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
15. Justeru, kesinambungan antara Belanjawan 2027 di peringkat Persekutuan dengan Belanjawan Johor 2027 amat penting dalam meneruskan agenda Maju Johor 2030. Menerusi tatakelola yang baik, pengurusan hasil yang berhemah serta tumpuan kepada pembangunan industri, peluang pekerjaan, PMKS dan jaringan keselamatan sosial, pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas demi kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#Belanjawan2027
#BelanjawanJohor2027
#BangsaJohorSejahtera
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


