TIADA HALANGAN SOLAT JUMAAT DI SEKOLAH


YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ketika ditemui selepas Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memberi jaminan tidak akan ada sebarang halangan untuk membenarkan pelajar lelaki untuk menunaikan solat Jumaat di sekolah apabila cuti hari minggu ditukar kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.

 

Bagi memudah dan menyelaras perkara itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga akan berkerjasama bagi memastikan perkara itu boleh dilaksanakan dengan sewajarnya.

 

Sehingga kini, sebanyak 15 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 11 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) telah dikenal pasti keperluan untuk melaksanakan solat Jumaat di kawasan sekolah, sama ada membabitkan kemudahan dewan sekolah, surau atau musala berhampiran, selain JAINJ juga akan membantu dengan menyediakan imam, bilal, dan khatib bertauliah.

 

Selain itu, Jabatan Mufti Negeri Johor juga akan mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah membabitkan sekolah yang jaraknya melebihi radius tiga kilometer (km) dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai serta sekolah yang tidak mempunyai penempatan penduduk atau kemudahan menunaikan solat Jumaat.

 

Satu garis panduan juga akan dikeluarkan oleh JAINJ berhubung kelonggaran kepada pelajar SAKJ untuk mengenakan pakaian sukan atau bersesuaian dan sopan bagi sesi persekolahan pada hari Jumaat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor