669 SEKOLAH SEDIA JADI PPS


YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 669 sekolah di seluruh negeri ini khususnya di kawasan berisiko banjir akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tujuan menempatkan mangsa bencana itu berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula sejak awal November lalu.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 129 sekolah adalah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat diikuti  PPD Kluang (114); PPD Kota Tinggi (92); PPD Segamat (92); PPD Tangkak (75); PPD Kulai (54); PPD Muar (42); PPD Pontian (26); PPD Johor Bahru (20); PPD Mersing (13) dan PPD Pasir Gudang (12).

 

Daripada jumlah itu, keutamaan bagaimanapu akan diberikan tumpuan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) untuk dijadikan sebagai PPS supaya ia tidak mengganggu perjalanan peperiksaan awam seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 2 Disember depan, sekali gus memudahkan pergerakan calon untuk menduduki peperiksaan tersebut.

 

Kesemua PPS berkenaan akan hanya dibuka untuk operasi sekiranya isyarat bencana diaktifkan selain tindakan awal yang diambil oleh agensi keselamatan berkaitan bagi mengelak berlakunya kerosakan harta benda sekolah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

 

Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir dengan menyelaras gerak kerja di setiap daerah termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan pelajar ke pusat peperiksaan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor