JDT PERKENAL JERSI MUSIM BAHARU, KEKAL WARNA TRADISI JOHOR

Jersi Tuan Rumah dan Jersi Pelawat ditawarkan pada harga RM299 sehelai, manakala bagi Jersi Alternatif berharga RM189 dan Jersi Tuan Rumah Remaja RM235, dengan pembelian kini boleh dibuat menerusi JDT Online Store atau JDT Direct Megastore, Stadium Sultan Ibrahim. | Foto JOHOR Southern Tigers
#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2026/27 dalam majlis pelancaran bersama penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
JDT yang terus mengekalkan jenama Nike sebagai pengeluar rasmi jersi pasukan untuk tahun ke-12 sejak musim 2014, sekali gus meneruskan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua pihak.
Bagi musim baharu ini, JDT memperkenalkan tiga rekaan jersi iaitu Jersi Tuan Rumah, Jersi Pelawat dan Jersi Alternatif dengan Jersi Alternatif dalam rona merah jambu telah diperkenalkan lebih awal iaitu pada 1 Ogos lalu dan ia juga sudah digunakan ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Chelsea.
Bagi Jersi Tuan Rumah, JDT terus mengekalkan warna tradisi bendera Johor menerusi gabungan dua rona biru ikonik, iaitu ‘Blue Void’ dan ‘Deep Royal Blue’ sebagai warna utama, selain corak belang harimau yang diinspirasikan daripada identiti dan simbol kebanggaan kelab serta kemasan merah ‘Sport Red’ pada hujung lengan dan sisi jersi.
Sementara itu, untuk variasi Jersi Pelawat pula, JDT tampil dengan rekaan serba putih yang diserikan dengan jalur biru ‘Blue Void’ pada bahagian hujung lengan dan sisi jersi, manakala ketiga-tiga rekaan turut menampilkan logo JMYR di bahagian hadapan, logo UMW Toyota Motor di bahagian belakang dan logo Johor Corporation (JCorp) pada hujung kiri lengan.
Jersi baharu JDT ini juga turut mengekalkan teknologi ‘Nike Dri-FIT’ yang menggabungkan fabrik penyerap peluh dengan panel jejaring beraliran udara bagi memberikan rasa ringan, kering dan selesa ketika dipakai terutama ketika perlawanan berlangsung.
Jersi Tuan Rumah dan Jersi Pelawat ditawarkan pada harga RM299 sehelai, manakala bagi Jersi Alternatif berharga RM189 dan Jersi Tuan Rumah Remaja RM235, dengan pembelian kini boleh dibuat menerusi JDT Online Store atau JDT Direct Megastore, Stadium Sultan Ibrahim.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemain JDT antaranya Brad Tapp, Afiq Fazail, Shane Lowry, Kevin Medina, Bergson Da Silva dan Matt Davies, selain program Kids Zone dan DJ Showcase.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#HarimauSelatan
#JDT
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


