JOHOR BAKAL PERKENAL BANTUAN DEPOSIT SEWA RUMAH BANGSA JOHOR
Oleh: Suhana Ariffin

Kerajaan Johor bakal memperkenalkan Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor pada tahun hadapan, dengan bantuan RM1,000 bagi membantu individu yang menghadapi kekangan menyediakan deposit sewa rumah. | Foto Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor
#JohorBahru – Kerajaan Negeri bakal memperluas inisiatif perumahan iaitu Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan, dengan bantuan sebanyak RM1,000 bagi membantu individu yang berdepan kekangan menyediakan deposit untuk menyewa rumah.
Bantuan tersebut turut dicadangkan untuk dibuka kepada penjawat awam termasuk kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Johor sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada negeri, selain membantu meringankan beban kewangan dalam mendapatkan kediaman sewa.
Inisiatif baharu ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda perumahan serta memastikan rakyat termasuk penjawat awam Persekutuan berkhidmat di Johor yang menjadi sebahagian ‘Keluarga Besar Bangsa Johor’ mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan bersesuaian dengan kemampuan.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan sebanyak RM337 juta bagi menjayakan agenda perumahan negeri sejak tahun 2022 yang telah memberi manfaat kepada hampir 100,000 individu di seluruh Johor menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif berkaitan perumahan.
Malah, Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5 juga memberi manfaat kepada 6,000 penerima dengan peruntukan keseluruhan lebih RM22 juta merangkumi Bantuan Sewa Rumah (RM2,500), Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) serta Bantuan Beli Rumah Pertama (RM5,000).
Pelaksanaan agenda perumahan negeri yang turut merangkumi penyediaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Negeri yang diilhamkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sekali gus mencerminkan keprihatinan Institusi DiRaja Johor terhadap keperluan perumahan rakyat.
Kerajaan Negeri akan terus merangka inisiatif dan produk baharu berkaitan perumahan yang dijangka diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2027, sejajar dengan usaha memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan kemampuan Bangsa Johor mendapatkan kediaman serta membina kehidupan keluarga yang harmoni.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Majlis Penyampaian Insiatif PKJ Fasa 5 di Stadium Tertutup MBJB Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini. Hadir sama YB Tuan Haji Zaidi Japar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor; YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru serta YB Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#PKJ
#PKPJ
#RMMJ
#Perumahan
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


