JOHOR BERI REBAT 30 PERATUS CUKAI HARTA
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor bersetuju memberikan rebat atau potongan sebanyak 30 peratus daripada nilai penyelarasan Kadar Taksiran Cukai Harta Baharu Tahun 2025 melibatkan 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meringankan beban pembayar-pembayar cukai di negeri ini.
Kesemua PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP); Majlis Perbandaran Muar (MPM); Majlis Perbandaran Segamat (MPS); Majlis Perbandaran Pontian (MPPn); Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT); Majlis Daerah Tangkak (MDT); Majlis Daerah Yong Peng (MDYP); Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR); Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Majlis Daerah Labis (MDL).
Pengumuman itu dibuat oleh YB Dato’ Mohd Jafni bin Md Shukor Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor ketika ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, hari ini.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri turut memberikan rebat 30 peratus terhadap kadar taksiran cukai harta melibatkan lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor