KEHILANGAN BATU PUTEH, PENGKHIANATAN TERHADAP KEDAULATAN NEGARA
#IskandarPuteri – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diterbitkan pada 5 Disember lalu telah mencetuskan kontroversi besar apabila mendedahkan keputusan Kerajaan Malaysia pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh atau nama lainnya, Pedra Branca.
YB Tuan Aznan Tamin, Ahli Dewan Negeri kawasan Tanjung Surat menyuarakan rasa dukacita dan kekesalan rakyat Pengerang sebagai kawasan paling hampir dengan kedudukan Pulau Batu Puteh, selain menyifatkan keputusan tersebut dibuat secara unilateral oleh Perdana Menteri tanpa rundingan bersama Jemaah Menteri.
Keputusan yang dibuat itu bukan sahaja mengabaikan fakta sejarah, nasihat pakar perundangan dan bukti baharu yang kukuh, tetapi juga mengkhianati harapan rakyat Malaysia, khususnya warga Pengerang yang selama ini mendambakan kedaulatan Pulau Batu Puteh dapat dikembalikan semula kepada Malaysia, khususnya Negeri Johor.
Dapatan laporan RCI juga mendedahkan keputusan untuk menarik balik semakan dibuat secara bersendirian meskipun terdapat bukti baharu yang memperkukuhkan tuntutan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh, sekali gus bukan sekadar menyebabkan kehilangan wilayah, tetapi juga mengorbankan kedaulatan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor itu juga menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengambil tanggungjawab moral atas insiden ini dan memastikan mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan kerana sebarang bentuk pengkhianatan terhadap kedaulatan negara tidak boleh diterima sama sekali.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Malaysia kehilangan hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu pula kekal menjadi milik Malaysia. Selain itu, hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh pula akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor