SETAHUN PEMERINTAHAN YANG UNIK
#IskandarPuteri – Tanggal 31 Januari hari ini, genaplah setahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Sepanjang setahun pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim telah menzahirkan komitmen yang tinggi dalam memperkukuh keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara menerusi acuan dan ramuannya yang tersendiri.
Mengulas mengenai setahun pemerintahan Seri Paduka Baginda, Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan KDYMM Sultan Ibrahim secara konsisten terus menonjolkan rasa tanggungjawab yang mendalam untuk menjaga keadilan dan kesejahteraan, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara Institusi diRaja dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpandangan hubungan akrab Seri Paduka Baginda dengan rakyat diserlahkan lagi menerusi keberangkatan KDYMM Sultan Ibrahim ke restoran popular seperti Hua Mui, Nasi Lemak Wanjo dan Asam Pedas Botak.
Prinsip ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda yang sentiasa menekankan nilai toleransi, hormat dan terima sebagai asas keharmonian negara disifatkannya sebagai kebijaksanaan KDYMM Sultan Ibrahim dalam menangani pelbagai isu sensitif bagi memastikan perpaduan negara tidak tergugat.
Hubungan akrab antara Seri Paduka Baginda dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah menghasilkan suatu sinergi dalam mendepani cabaran negara serta menentukan hala tuju yang lebih mengutamakan rakyat turut dirancakkan dengan pelbagai dasar dan polisi untuk memacu ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Justeru, kepimpinan berwibawa dan komitmen tinggi Seri Paduka Baginda menjaga kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan yang inklusif dan berteraskan nilai perlembagaan menterjemah Institusi diRaja adalah simbol pelindung negara yang tidak hanya dihormati, tetapi juga dicintai oleh segenap lapisan masyarakat.
#YDPAgong
#RajaKitaSelamatBertakhta
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor