JOHOR DI LANDASAN BETUL JADI ENJIN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor memberikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UEM Sunrise Berhad dan kumpulan hartanah dari Singapura, GuocoLand Ltd. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Johor berada di landasan betul untuk menjadi enjin pertumbuhan baharu bagi ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara didorong pelbagai projek pemangkin dan inisiatif terdapat di negeri ini.

 

Pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) akan merancakkan lagi dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Dengan berlakunya pertumbuhan melalui projek-projek pemangkin berkenaan, bukan hanya Johor sahaja menikmati faedah dan limpahan ekonomi sebaliknya turut dirasai oleh Putrajaya dan negara jiran, Singapura.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri terus komited menjadikan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan destinasi pelaburan pilihan apabila pelbagai negara selain Singapura sudah menzahirkan minat untuk membuat pelaburan di negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemaju hartanah terkemuka negara, UEM Sunrise Berhad dan kumpulan hartanah dari Singapura, GuocoLand Ltd. bagi menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan bersama di Iskandar Puteri.

 

Turut hadir, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor; YBhg. Encik Ahmad Nazir Mohd Nasir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru; YBrs. Encik Ng Kuan Khai, Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru; YBrs. Datuk Hisham Hamdan, Pengerusi UEM Sunrise serta YBrs. Encik Cheng Hsing Yao, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GuocoLand.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor