MAINJ RAI 100 TAHUN PENUBUHANNYA


YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke pelancaran sambutan penubuhan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kini melakar sejarahnya tersendiri apabila menyambut ulang tahun ke-100 sejak ia ditubuhkan pada tahun 1925.

 

Dalam tempoh seabad itu, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam terutama dalam membangunkan ummah di Johor.

 

Justeru bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 MAINJ yang bertemakan ‘Islam Dimartabat, Raja Berdaulat, Negeri Berkat’ ini, pelbagai program dirangka bagi menonjolkan  sumbangan institusi itu dalam aspek kebajikan, pembangunan dan tokoh sosial Islam di Negeri Johor.

 

Sebanyak 37 program dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan ini yang turut disertai pelbagai jabatan di bawah Pusat Islam Iskandar Johor yang akan turut membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jabatan Kehakiman Syariah Johor, Jabatan Mufti Johor dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dijadual bermula 6 Februari dan akan berakhir pada 21 Disember depan.

 

Antara program yang akan dilaksanakan ialah Semarak Hadis dan Pelancaran Buku Hadis 40, Simposium Wasiat dan Faraid, Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana, Bicara Ilmu, Walimatul Urus Perdana, Forum Halal Antarabangsa, Forum Perubatan Islam, Kembara Zakat, Multaqa Ulama, Perujian Berzanji dan pelancaran Buku 100 Tahun MAINJ.

 

Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke pelancaran sambutan penubuhan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor.

 

Turut hadir di sambutan tersebut ialah YB Dato’ Dr. Nooh Gadot, Penasihat MAINJ; YBhg. Tuan Haji Nasri Md Ali, Pengarah JAINJ dan YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ.

 

#MAINJ100Tahun
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor