JDT HARGAI SOKONGAN PADU PENYOKONG DI STADIUM SULTAN IBRAHIM

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalu-alukan semua untuk berbuka puasa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebelum sepak mula perlawanan pada esok, 11 Mac 2025 menentang Buriram United.
#IskandarPuteri – Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mencatatkan jumlah angka kehadiran tertinggi bagi empat perlawanan peringkat liga kumpulan Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024/25 dan rekod ini telah membuktikan bahawa penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa memberikan komitmen dalam memenuhkan stadium pada hari perlawanan.
Jumlah kehadiran 31,386 penyokong pada perlawanan JDT menang 3-0 menentang Shanghai Shenhua, 34,236 penyokong pada perlawanan tumpuan menundukkan Ulsan HD dengan jaringan 3-0 dan 31,687 penyokong pada perlawanan terikat 0-0 dengan Buriram United. Keghairahan penyokong menjadi-jadi hingga berjaya memecahkan rekod kehadiran di laman sendiri sebanyak 34,590 orang yang menyaksikan skuad Harimau Selatan membenam Pohang Steelers 5-2 seterusnya layak ke pusingan 16 terbaik elit Asia.
Sekali lagi magis penyokong ditagih bagi memenuhkan setiap ruang di SSI selepas laman media sosial Johor Southern Tigers telah mengumumkan tiket telah habis dijual bagi perlawanan aksi kedua Peringkat 16 Terbaik ACLE 2024/25 menentang Buriram United pada Selasa.
Bagi menghargai pengorbanan dan memudahkan penyokong Harimau Selatan pada bulan Ramadan, JDT dan Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua untuk berbuka puasa di SSI sebelum sepak mula perlawanan. Pelbagai juadah berbuka yang ditawarkan termasuk buah kurma, bubur lambuk, set KFC dan banyak lagi. Makanan yang telah dibungkus akan diedarkan di setiap pintu masuk penyokong ke ruang tempat duduk stadium, dan juga di Tempat Letak Kereta Zon 3 mulai jam 4.30 petang.
Bukan itu sahaja, pihak stadium akan menambah ruang kemudahan menunaikan solat di kawasan Tempat Letak Kereta Zon 3 untuk mengelakkan kesesakan kepada lapan ruang solat yang sedia ada di Stadium Sultan Ibrahim.
Ayuh kita sama-sama mencipta satu lagi malam gemilang Asia di Iskandar Puteri. Luaskan Kuasamu Johor.
#TheTMJeffect
#ACLElite
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor