SENTUHAN IKON SUKAN GLOBAL BANTU PEMBANGUNAN BELIA JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto JOHOR Southern Tigers
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor sentiasa meletakkan kepentingan pembangunan golongan belia sebagai teras dalam agenda Maju Johor. Inisiatif kepada golongan belia merangkumi aspek sukan, kecergasan, sosial, kesenian, kepimpinan dan kemasyarakatan.
Pembangunan sukan di peringkat akar umbi di Johor bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia merupakan sebuah projek berskala besar ke arah menjadi gelombang baharu dalam arena sukan negara. Beberapa nama besar dalam arena sukan global kerap dilihat hadir ke selatan tanah air dan dibawa melihat fasiliti-fasiliti sukan di Negeri Johor.
Bercakap pada sesi perjumpaan dengan penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, mengesahkan landskap sukan Johor akan berubah dengan kehadiran empat tokoh lagenda sukan. Tunku Ismail turut mendedahkan bahawa Negeri Johor mengalu-alukan kehadiran nama-nama besar dalam sukan dunia bagi membimbing dan memberi inspirasi kepada atlet muda. Walaupun ketika ini Johor terkenal dengan sukan bola sepak, Tunku Ismail menegaskan bahawa pembangunan belia turut memfokuskan kepada sukan badminton, ragbi, bola keranjang dan tinju pada masa ini.
Kehadiran lagenda ragbi New Zealand All Blacks, Sonny Bill Williams, ke bumi Johor baru-baru ini telah membincangkan soal kerjasama dan sinergi khususnya dalam pembangunan atlet sukan ragbi di Negeri Johor. Pemenang dua kali Piala Dunia Ragbi ini merupakan seorang atlet yang paling berjaya dan cemerlang, bukan sahaja sebagai pemain ragbi tetapi juga dalam sumbangannya kepada Kesatuan Ragbi Dunia. Beliau yang dikenali dengan sikap murah hati boleh dijadikan sebagai simbol kecemerlangan dan contoh teladan yang ideal kepada atlet muda di Johor.
Bekas pemain badminton profesional negara dan pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali, Datuk Wira Lee Chong Wei, antara nama yang diperkatakan oleh Tunku Ismail yang akan membantu memacu program belia di Negeri Johor. Ikon sukan badminton yang berusia 43 tahun ini mempertahankan kedudukan ranking nombor satu dunia selama 310 minggu, memenangi tiga pingat perak bagi Kejohanan Dunia dan juga tiga pingat emas bagi Sukan Komanwel. Chong Wei, yang akan dilantik sebagai Penasihat Sukan Badminton Johor dan Duta Sukan Johor, menganggap ia sebagai satu penghormatan luar biasa daripada Tunku Ismail dan bersedia dengan komitmen tersebut.
Selain itu, lagenda bola sepak Australia dan bekas bintang Kelab Bolasepak Everton, Tim Cahill, dilihat kerap bersama Tunku Ismail dalam perjumpaan bersama tokoh-tokoh bola sepak. Cahill pernah mencipta sejarah sebagai ‘Socceroos’ pertama yang menjaringkan gol di Piala Dunia, dan sehingga kini, beliau kekal sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang masa Australia dengan 47 gol. Atas segala pencapaian dan kejayaan tersebut, beliau dilantik sebagai Penasihat Antarabangsa Tunku Ismail.
Khabib Nurmagomedov, nama yang tidak asing lagi dalam sukan tempur dunia, merupakan bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi kategori lightweight. Beliau telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Johor melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) pada Disember 2024. Khabib akan terlibat dalam projek pembangunan belia dan pembukaan Khabib Gym di Johor, sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam pembangunan fasiliti sukan dan melahirkan atlet bertaraf dunia.
Dengan kehadiran empat ikon sukan global ini, belia di Johor berpeluang mendapat pandangan yang tidak ternilai dan pengalaman berharga daripada ‘world-class athletes’. Kejayaan inisiatif ini akan menjadikan Negeri Johor sebagai kuasa besar pembangunan sukan dalam negara, seiring dengan misi Kerajaan Johor mengangkat negeri ini sebagai ‘Johor Sports Powerhouse’.
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor