YPJ PERUNTUK RM32.5 JUTA UNTUK MAHASISWA JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Johor. | Foto Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan sebanyak RM32.5 juta bagi menyediakan pelbagai inisiatif demi kebajikan mahasiswa Johor yang sedang menuntut di kampus pengajian masing-masing, selain ia juga bertujuan untuk melahirkan pemimpin muda yang berketerampilan, berdaya saing dan berintegriti tinggi.
Bagi maksud itu, sebanyak RM630,000 telah disediakan Kerajaan Negeri untuk Persatuan Mahasiswa Anak Johor di institusi pengajian tinggi (IPT); Program Duta Jauhar (RM100,000); Bantuan Pinjaman Pelajaran Mahasiswa IPT (RM18.3 juta); Bantuan Pendaftaran (RM8 juta); Insentif Mahasiswa Johor (RM3 juta) dan inisiatif terbaharu iaitu Bantuan Laptop Siswa Johor dengan peruntukkan sebanyak RM2.5 juta.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa, seramai 200 mahasiswa Johor dari pelbagai IPT di seluruh negara telah menerima sumbangan Aidilfitri bagi meringankan beban kewangan mereka, khususnya dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.
Secara tidak langsung Inisiatif ini turug mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa Johor yang pada masa sama berupaya memperkasakan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi berdaya saing serta berjati diri Bangsa Johor yang kukuh.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Johor serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada mahasiswa IPT.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg Tuan Haji Suhairi Haji Hashim, Pengurus Besar YPJ; YB Tuan Haji Abd. Mutalip Abd Rahim, Ahli Dewan Negeri (ADN) Layang-Layang merangkap ADN Angkat Mahasiswa Anak Johor USIM (MAJU); YB Puan Fauziah Misri, ADN Penawar merangkap ADN Angkat Sekretariat Mahasiswa Johor (SMJ) KYPJ; serta YB Puan Saraswati Nallathamby, ADNN Kemelah merangkap ADN Angkat Sekretariat Anak Johor (SOHOR).
#MahasiswaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor