MAINJ TINGKAT POTENSI ASNAF MELALUI KEUSAHAWANAN

YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor menyempurnakan perasmian Kilang Memproses Mi Kuning Adli di bawah Projek Pembangunan Asnaf 2.0 MAINJ dan Sambutan Hari Raya MAINJ Daerah Pontian di Taman Pontian Jaya. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Pontian – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) komited membangunkan potensi dan memperkasa golongan asnaf di negeri ini, melalui pendekatan jangka panjang berasaskan keusahawanan serta membina insan berdaya saing dan berdikari.

 

Komitmen tersebut berjaya direalisasikan dengan rasminya kilang memproses mi kuning yang merupakan inisiatif strategik dengan usahasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) di bawah Projek Pembangunan Asnaf 2.0 MAINJ.

 

Projek Pengusahaan Pembuatan Mi Kuning Daerah Pontian melibatkan kos keseluruhan RM286,331 di mana MAINJ menyediakan peruntukan RM87,121 manakala PNB pula RM199,210 itu meliputi kerja-kerja baik pulih bangunan, pembelian peralatan dan bayaran sewaan bangunan.

 

Melalui pembinaan kilang berkenaan, MAINJ memberikan bantuan kewangan, peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan ruang kepada asnaf terlibat dalam bidang pengeluaran makanan mematuhi piawaian halal dan keselamatan makanan yang tinggi.

 

Projek yang menjadi simbol pemerkasaan ekonomi umat Islam itu melibatkan lima asnaf dan seorang mentor yang dilantik berdasarkan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pembuatan bahan makanan itu.

 

Selain itu, MAINJ turut menjalin kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) bagi membantu menaik taraf ekonomi golongan asnaf seterusnya melihat potensi mengembangkan lagi perniagaan melalui projek tersebut.

 

Terdahulu, YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor menyempurnakan perasmian Kilang Memproses Mi Kuning Adli di bawah Projek Pembangunan Asnaf 2.0 MAINJ dan Sambutan Hari Raya MAINJ Daerah Pontian di Taman Pontian Jaya.

 

Turut hadir, YBhg. Tuan Mohd Radzi Mohd Amin, Pengarah Eksekutif PUJB; YBhg. Tuan Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ; YBhg. Tuan Kamalludin Jamal, Pegawai Daerah Pontian dan YBrs. Puan Aisyah Abu Bakar, Amin Baitulmal Daerah Pontian.

 

#MAINJ
#PUJB
#PNB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor