KERJAYA BERGAJI PREMIUM KINI SATU REALITI

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merasmikan Festival UTMPearl. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 5,000 graduan untuk menjalani latihan intensif di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) pada tahun ini, sekali gus membolehkan mereka merebut peluang mendapatkan kerjaya bergaji premium yang kini ditawarkan oleh pelbagai syarikat global, seiring dengan pembangunan ekonomi berimpak tinggi dan pertumbuhan sektor strategik serantau yang dilaksanakan di Johor.
Sasaran realistik itu diterjemahkan menerusi sambutan padu yang diterima menerusi penganjuran Festival Kerjaya Premium, Keusahawanan dan Alumni (UTMPearl 2025) oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menghimpunkan lebih 70 syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara dengan tawaran lebih 2,500 peluang pekerjaan bergaji premium dalam pelbagai sektor dan industri.
Program dengan kerjasama Talentbank dan JTDC itu juga dilihat mampu menjadi jambatan yang menghubungkan graduan serta pencari kerja dengan syarikat terkemuka yang menawarkan gaji premium serta latihan industri dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan pada masa sama dapat memenuhi keperluan industri global, sejajar aspirasi pewujudan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, UTM turut memeterai perjanjian dengan beberapa syarikat utama seperti CIBD Technologies Sdn. Bhd dan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn. Bhd bagi memperkukuh hubungan dengan industri untuk menyokong pembangunan kerjaya graduan serta meningkatkan kualiti latihan industri yang ditawarkan kepada pelajar.
Penganjuran UTMPearl juga diyakini mampu mengukuhkan kedudukan UTM sebagai peneraju dalam pembangunan modal insan mampan, susulan kejayaan mengekalkan kadar 100 peratus kebolehpasaran graduan serta mencatatkan statistik kadar graduan bekerja tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.
Terdahulu, majlis perasmian Festival UTMPearl telah disempurnakan oleh YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Turut hadir ialah YBhg Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM; YBhg Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM serta YBrs Encik Ben Ho, Pengarah Urusan Talentbank.
#GajiPremium
#JTDC
#UTMPearl2025
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor