UiTM JOHOR IPT PERTAMA WUJUD JAWATANKUASA JTDC

YBrs. Encik Mohammad Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat Johor Corporation (JCorp), mewakili YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor melancarkan Majlis Pelancaran Jawatankuasa JTDC @ UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Segamat – Usaha memperkasa bakat muda Johor terus diperkukuh menerusi penubuhan Jawatankuasa Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) @ Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, sekali gus menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama yang menubuhkan jawatankuasa berkenaan di peringkat universiti.

 

Inisiatif strategik ini akan berperanan sebagai penghubung antara universiti dan JTDC bagi mengumpul serta menyalurkan maklumat berkaitan program pembangunan kerjaya, selain membantu merangka modul pembelajaran yang lebih relevan dengan kehendak serta keperluan industri semasa.

 

Melalui jawatankuasa ini, mahasiswa dan bakal graduan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat akan mendapat akses lebih awal berkaitan peluang pekerjaan, latihan industri dan pendedahan industri, sekali gus membantu mereka membuat persediaan sewajarnya sebelum memasuki alam pekerjaan serta merebut peluang mendapatkan gaji premium.

 

Usaha ini seiring dengan komitmen Kerajaan Johor dalam merealisasikan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Selain itu, IPT lain di Johor turut digalakkan supaya turut mewujudkan inisiatif sama dan menjadikan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat sebagai penanda aras dalam pelaksanaan Jawatankuasa JTDC atau ‘mini JTDC’, sebagai langkah proaktif bagi merapatkan jurang antara IPT dan industri sebenar.

 

Terdahulu, Majlis Pelancaran Jawatankuasa JTDC @ UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Mohammad Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat Johor Corporation (JCorp), mewakili YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor