KOTA JAIL MAMPU RANCAKKAN EKONOMI TEMPATAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YBhg. Encik Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor, meninjau pengoperasian Kota Jail. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Suatu ketika dahulu bangunan bersejarah Penjara Ayer Molek yang pernah dalam keadaan terbiar namun kini ia dihidupkan semula sebagai ‘Kota Jail’ yang akan menjadi destinasi tarikan pelancongan baharu yang berkonsepkan seni, budaya dan warisan.

 

Bangunan penjara ini diberi nafas baharu menerusi pendekatan pemuliharaan struktur asal bangunan sambil memperkenalkan elemen moden yang selari dengan citarasa generasi muda, bukan sekadar menampilkan ruang bersejarah berkaitan penjara, tetapi bakal menyediakan pameran seni, kafe, gerai usahawan muda dan pelbagai aktiviti komuniti, sekali gus menjadi antara platform penting dalam merancakkan ekonomi tempatan terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Malah, Kota Jail juga dilihat bakal menjadi destinasi pelancongan utama yang wajib dikunjungi, selain ia juga akan berperanan sebagai pusat aktiviti komuniti belia dan peniaga kecil serta pada masa sama berpotensi menjadi hab strategik bagi usahawan muda untuk membuka perniagaan termasuk butik pakaian terpakai, studio seni dan bengkel kreatif.

 

Kota Jail yang mula dibuka semula kepada orang ramai pada 14 Mac lalu menjadi permulaan kepada pendekatan baharu dalam sektor pelancongan di negeri ini terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026, menerusi penggunaan semula bangunan lama untuk mencipta gabungan variasi daya tarikan unik berteraskan warisan dan kreativiti yang dizahirkan generasi muda masa kini.

 

Pembangunan Kota Jail juga masih lagi mengekalkan elemen warisan bangunan seperti pintu besi, sel penjara lama, batu-bata asal dan susun atur sebagai sebahagian daripada identiti lokasi sekali gus memastikan nilai sejarahnya tidak akan hilang, malah terus dihargai dalam bentuk baharu yang lebih segar dan inklusif.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor dan YBhg. Encik Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor, meninjau pengoperasian Kota Jail, semalam.

 

#KotaJail
#VisitJohor2026
#PenjaraAyerMolek
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor