PEMANGKU SULTAN JOHOR DEDAH PUNCA UTAMA MASALAH BOLA SEPAK NEGARA

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ditemui media selepas berangkat menyertai sesi sidang media bersama Peter Cklamovski, Ketua Jurulatih Harimau Malaya di DoubleTree by Hilton Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Meskipun bola sepak merupakan sukan nombor satu negara, namun kemajuan yang diharapkan masih tersekat akibat kegagalan dalam aspek pengurusan kewangan dan keengganan sesetengah pihak melakukan perubahan sebenar.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah sikap segelintir pihak terbabit sedikit pun tidak menghalang Baginda untuk terus meningkatkan kapasiti dan kemampuan fasiliti latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) agar terus menjadi penanda aras dan berada di kelas tersendiri.

 

Pemilik JDT itu juga bertitah supaya Kerajaan Persekutuan memberikan sokongan dan peruntukan signifikan kepada bola sepak berbanding Formula One yang menyaksikan sumbangan penajaan besar oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terhadap sukan tersebut.

 

Titah cadangan Pemangku Sultan Johor itu bagaimanapun disulami dengan teguran kepada pengurusan kelab yang gagal menguruskan kewangan dengan baik dan tidak mengambil geran ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri masing-masing.

 

Baginda turut mahu semua pihak yang bersuara mengenai peningkatan dan pembaharuan drastik sukan tersebut memiliki struktur serta sistem pengurusan lebih profesional dalam usaha memastikan bola sepak tanah air mampu mencapai potensi sebenar di peringkat antarabangsa.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ditemui media selepas berangkat menyertai sesi sidang media bersama Peter Cklamovski, Ketua Jurulatih Harimau Malaya di DoubleTree by Hilton Johor Bahru, hari ini.

 

#TMJ
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor