JOHOR PERKASA SEKTOR PKS TANGANI KETIDAKTENTUAN GLOBAL

YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab soalan tambahan YB Tuan Hahasrin Hashim, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Panti mengenai usaha membantu usahawan mendepani impak pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkukuh dan membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan perdagangan global termasuk impak daripada perang perdagangan serta pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Antara usaha dilaksanakan termasuk memperkasa rantaian bekalan tempatan dengan menggalakkan kerjasama antara pelabur asing dan PKS Johor melalui kontrak pembekalan dan subkontrak dalam sektor utama seperti pembuatan, elektronik serta automotif menerusi Program Pembangunan Rantaian Bekalan.
Selain itu, usaha memperkasa rantaian bekalan juga dibantu menerusi inisiatif penganjuran platform seperti Iskandar Malaysia SME Business Outlook yang berperanan sebagai medan pemadanan perniagaan antara pelabur dan syarikat tempatan sekali gus memperkukuh keupayaan tempatan, menarik pelaburan asing serta memajukan ekonomi negeri.
Program Pembiayaan BRJohorNiaga diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak tahun 2023 juga telah menyediakan subsidi pembiayaan kepada usahawan tempatan dalam usaha mengembangkan operasi dan memenuhi keperluan teknikal pelabur asing yang diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Johor sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan di peringkat serantau.
Peranan penting sektor PKS terhadap ekosistem pelaburan juga diiktiraf Kerajaan Negeri dengan menyediakan pelbagai insentif kewangan bagi meningkatkan daya saing sektor tersebut menerusi insentif disediakan agensi seperti TEKUN Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan SME Corporation Malaysia dalam bentuk dana khas, pembiayaan mikro, subsidi latihan serta pelaburan strategik.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab soalan tambahan YB Tuan Hahasrin Hashim, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Panti mengenai usaha membantu usahawan mendepani impak pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor