DARI JOHOR UNTUK MALAYSIA

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mencemar duli turun ke bilik persalinan dan menyuntik kata-kata semangat kepada para pemain skuad Harimau Malaya. | Foto JOHOR Southern Tigers
Oleh – Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Kemenangan skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam malam tadi bukan sekadar tiga mata berharga dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 semata-mata. Ia adalah simbol kebangkitan gelombang baharu bola sepak negara, satu detik bersejarah yang mencerminkan hasil kerja keras, perancangan strategik serta perubahan budaya dalam pengurusan sukan nombor satu tanah air.
2. Hakikatnya, untuk menewaskan Vietnam bukan tugasan yang mudah. Dalam beberapa tahun terakhir, Vietnam kerap menjadi lawan ‘penghalang’ buat Malaysia. Sejak edisi Piala AFF 2014, Harimau Malaya sering kali terpaksa akur dengan kelebihan percaturan taktikal Vietnam yang memiliki rekod prestasi cemerlang dalam arena bola sepak terutama di Asia Tenggara.
3. Sebelum kemenangan ini, Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan dalam lapan pertemuan terakhir menentang Vietnam di semua kejohanan kompetitif. Justeru, kemenangan di pentas kelayakan kali ini bukan sekadar kejayaan taktikal, tetapi isyarat bahawa jurang prestasi yang memisahkan kedua-dua pasukan kini berjaya dirapatkan hasil pembaharuan yang sedang dilaksanakan.
4. Kebangkitan ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada satu revolusi menyeluruh dalam landskap bola sepak Malaysia yang telah dirintis hampir sedekad lalu. Antara teras utama revolusi ini ialah usaha membina ekosistem profesional meliputi pengurusan kelab, sistem liga yang lebih teratur, pengambilan jurulatih berkualiti, program pembangunan akar umbi yang sistematik serta penggunaan data dan sains sukan secara intensif dalam persediaan skuad Harimau Malaya kali ini.
5. Di barisan hadapan revolusi ini, tidak dapat dinafikan peranan penting Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Melalui kepimpinan Baginda, model Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dijadikan contoh standard emas bagaimana sebuah kelab bola sepak moden seharusnya diurus, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam arena bola sepak negara sebelum ini.
6. Apa yang lebih istimewa kali ini, biarpun Tunku Mahkota Ismail bukan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun jiwa besar dan cinta Baginda terhadap sukan bola sepak negara tidak pernah padam. Baginda hadir bukan sekadar sebagai pemilik kelab bola sepak, tetapi sebagai insan dan penyokong tulen yang benar-benar mahu melihat Harimau Malaya berdiri megah di pentas Asia.
7. Dalam debaran sebelum sepak mula, Baginda mencemar duli turun ke bilik persalinan menyuntik kata-kata semangat kepada para pemain yang bukan sahaja meresap ke jiwa, tetapi menjadi nyalaan api yang membakar semangat mereka di atas padang.
8. Lebih 20 hari Harimau Malaya menjalani persiapan. Infrastruktur bertaraf antarabangsa seperti pusat latihan serba lengkap di Padang Seri Gelam, kemudahan pemulihan atlet yang canggih, kualiti padang bertaraf dunia, serta pengurusan kelab yang profesional telah menjadi tulang belakang kepada pembangunan pemain tempatan.
9. Malah, kualiti padang bertaraf dunia, fasiliti latihan moden dan suasana profesional inilah yang menjadi faktor utama Peter Cklamovski, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, memilih pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam sebagai markas utama persediaan menjelang perlawanan penting ini.
10. Persiapan rapi di fasiliti terbaik negara membolehkan pemain memaksimumkan prestasi fizikal, taktikal dan mental mereka. Latihan di bawah suasana yang kondusif ini telah memberikan kelebihan ketara kepada Harimau Malaya untuk turun dengan kesiapsiagaan yang maksimum ketika menentang Vietnam.
11. JDT tidak sekadar membangunkan fasiliti bertaraf dunia untuk kegunaan sendiri, malah sentiasa sedia berkongsi kepakaran, kemudahan dan pengalaman mereka untuk memperkukuh kekuatan skuad kebangsaan. Inilah semangat nasionalisme sukan sebenar iaitu meletakkan kepentingan negara di hadapan segalanya.
12. Benarlah apa yang dikatakan mengenai ‘The TMJ Effect’, ditambah pula dengan usaha berterusan semua pihak telah membuktikan bagaimana sinergi antara kelab dan negara sebenarnya mampu mencipta satu sistem pembangunan bola sepak yang progresif dan berdaya saing.
13. Tidak cukup dengan itu, visi jauh Baginda turut menyentuh aspek memperkukuh skuad kebangsaan melalui pengesanan pemain warisan yang memiliki darah keturunan Malaysia di luar negara. Kehadiran pemain-pemain warisan ini membawa kualiti teknikal tinggi, pengalaman liga-liga kompetitif dan mentaliti profesional yang selama ini menjadi antara kekangan utama kita dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.
14. Hasilnya, kita dapat menyaksikan malam tadi bagaimana Harimau Malaya bermain dengan identiti yang jelas, disiplin taktikal tinggi, kawalan permainan, keyakinan di atas padang, serta semangat juang yang tidak luntur. Semua ini adalah hasil daripada latihan intensif, persediaan rapi serta bimbingan jurulatih berkaliber yang memahami kekuatan DNA yang ada pada bola sepak Malaysia.
15. Revolusi bola sepak Malaysia telah bermula di Johor di bawah kebitaraan Tunku Mahkota Ismail yang kekal sebagai nadi penggeraknya. Kini cabaran terbesar ialah memastikan momentum ini terus kekal dan tidak terhenti di tengah jalan.
16. Dengan komitmen pengurusan, jurulatih, pemain, hingga ke penyokong, kita berpeluang menyaksikan bukan sahaja lebih banyak kemenangan, tetapi membina sebuah legasi bola sepak Malaysia yang dihormati di rantau Asia.
#TheTMJEffect
#HarimauMalaya
#WTN
#WhatCanYouDo
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor