KERJA PEMBAIKAN PAIP DITANGGUH SEMALAM KERANA HUJAN LEBAT


Operasi baik pulih paip air di Pasir Gudang terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat dan cerun runtuh / Foto Ihsan Fazli Salleh


ISKANDAR PUTERI —
Kerja pembaikan paip air yang pecah di Seri Alam terpaksa ditangguhkan malam tadi berikutan keadaaan hujan lebat yang melanda kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata selain itu cerun di tapak operasi juga runtuh dan ditenggelami air hingga merencatkan kerja baik pulih yang sedang dilaksanakan.

“Pihak kami ingin memohon maaf kerana kerja pembaikan paip air 1200 milimeter (mm) terpaksa ditangguhkan akibat hujan yang sangat lebat.

“Sebagai langkah tambahan, pihak Ranhill SAJ telah meletakkan sekurang-kurangnya 24 tangki septik di lokasi strategik seperti sekolah, masjid dan surau. Bilangan kemudahan ini akan ditambah dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

Mohamad Fazli berkata, pihaknya juga akan menambah bilangan lori tangki air dari 38 kepada 49 buah, selain bilangan ‘filling point’ juga ditingkatkan kepada 6 point berbanding 4 sebelum ini.

“Terima kasih juga kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO) kerana turut membantu mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang masih belum menerima kemudahan itu.

“Saya juga mohon seluruh Bangsa Johor mendoakan kerja baik pulih ini dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor