DUTA SUKAN JOHOR GAMATKAN ARENA BADMINTON JOHOR

Peminat sukan badminton membanjiri sesi Meet and Greet bersama Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei, Duta Sukan Johor, yang berlangsung di Arena Badminton Johor, Taman Perling, anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Persatuan Badminton Negeri Johor (JHBA). | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Peminat sukan badminton terdiri daripada atlet pembangunan negeri Johor, pelajar sekolah sekitar Johor Bahru dan ibu bapa membanjiri sesi ‘Meet and Greet bersama Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei, Duta Sukan Johor’ di Arena Badminton Johor, Taman Perling anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bersama Persatuan Badminton Negeri Johor (JHBA).
Meluangkan masa dalam sesi soal jawab, Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei berkongsikan pengalaman sepanjang karier, selain memberikan inspirasi kepada generasi muda dalam mengejar impian untuk mengikuti jejak langkah beliau sebagai jaguh badminton negara.
Bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan betapa pentingnya nilai disiplin dan kepercayaan kepada jurulatih yang membentuk diri beliau dalam mencapai kejayaan dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta dunia.
Sebagai Duta Sukan Johor, Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei bersedia untuk berkongsi segala pengalaman beliau demi merealisasikan impian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam memartabatkan arena sukan negeri ini. Beliau juga mengumumkan sebuah kejohanan Piala Lee Chong Wei bakal diadakan pada tahun hadapan, menyaksikan negeri Johor sebagai salah satu venue perlawanan.
Selain itu, Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei turut meluangkan masa dalam sesi bertemu peminat dan menyaksikan sesi latihan atlet pembangunan sukan badminton negeri Johor.
Turut hadir ke sesi tersebut adalah Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah MSNJ; Dato’ Chong Juong Chain, Presiden JHBA dan Encik Muhammad Ali Abdul Karim, Penolong Pengarah Seksyen Komunikasi Strategik MSNJ.
#JohorSafeZone
#DutaSukanJohor
#LeeChongWei
#BadmintonJohor
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



