KERAJAAN JOHOR MAHU USAHAWAN, PKS SEDIA REBUT PELUANG JS-SEZ

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian JBSE 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

#JohorBahru – Kerajaan Negeri menyeru usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan untuk bersaing di peringkat serantau sekali gus merebut peluang besar yang wujud menerusi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Meliputi kawasan seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi, JS-SEZ merangkumi pelbagai sektor strategik seperti teknologi, pembuatan, logistik, digital dan perkhidmatan profesional akan terus meraih limpahan pelaburan baharu seterusnya menuntut kesediaan usahawan dan PKS bersedia menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi.

 

Usahawan dan PKS disarankan supaya meningkatkan kemahiran dan adaptasi teknologi bagi memenuhi keperluan pelabur antarabangsa di JS-SEZ sejajar dengan pewujudan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang mempercepat proses pelaburan dan memperluas kerjasama rentas sempadan.

 

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menegaskan pelabur di JS-SEZ juga perlu menyokong pembangunan keusahawanan tempatan melalui latihan, bimbingan dan peluang penyertaan dalam rantaian bekalan bagi memastikan manfaat daripada pelaburan diraih dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Johor.

 

Sementara itu, penganjuran Sidang Kemuncak dan Ekspo Perniagaan Johor (JBSE) 2025 menjadi platform utama kepada usahawan, PKS serta pemain industri di negeri ini, untuk meneroka pasaran baharu menerusi jalinan rangkaian strategik seterusnya menembusi pasaran global.

 

Berlangsung selama dua hari, acara dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dengan kerjasama Kotler Impact Asia itu menyediakan pelbagai pengisian menarik bagi memacu kerjasama serta inovasi yang memposisikan Negeri Johor sebagai hab perniagaan terkemuka di rantau ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian JBSE 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Turut hadir, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor serta YBhg. Tuan Haji Mohamad Radif Kosnin, Ketua Pegawai Eksekutif PUJB.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#JohorBusinessSummitExpo2025
#JBSE2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor