IKON BELIA JOHOR, HAFIZH SYAHRIN DEKATI ANAK MUDA DI CUB PRIX ISKANDAR PUTERI

Sesi ramah mesra bersama pelumba negara merangkap Ikon Belia Johor, Hafizh Syahrin Abdullah di Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix, Iskandar Puteri mendapat sambutan luar biasa, khususnya dalam kalangan belia Johor. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri – Suasana di litar Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix di Iskandar Puteri bertambah meriah dengan penganjuran sesi ramah mesra bersama pelumba negara merangkap Ikon Belia Johor, Hafizh Syahrin Abdullah. Program yang bertujuan mendekatkan bintang permotoran itu dengan peminat tempatan mendapat sambutan luar biasa, khususnya daripada golongan belia Johor.
Dalam sesi perkongsian yang santai, Hafizh Syahrin mengimbas kembali permulaan kariernya yang bermula daripada perlumbaan pocket bike serta Cub Prix sebelum melangkah ke pentas dunia seperti Kejohanan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). Kisah jatuh bangun beliau turut menjadi inspirasi kepada anak muda yang hadir agar tidak mudah berputus asa mengejar impian.
Di samping berkongsi perjalanan karier, pelumba yang sinonim dengan gelaran ‘El Pescao’ itu turut menitipkan nasihat kepada belia Johor agar menyalurkan minat permotoran melalui platform yang sah seperti di litar perlumbaan. Beliau turut menegaskan kepentingan mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain berbanding melakukan aksi berbahaya di jalan raya.
Program diakhiri dengan sesi bergambar dan menandatangani autograf bersama peminat. Penganjuran sesi ini bukan sahaja memeriahkan perlumbaan di Iskandar Puteri, malah berpotensi menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi pelumba pelapis Johor yang berbakat dan berdisiplin pada masa akan datang.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Dan Sukarelawan) dan Tuan Haji Fizwan bin Dato’ Haji Mohd Rashidi, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri hadir memeriahkan sesi ramah mesra di reruai JDT Direct bersempena dengan Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix di Iskandar Puteri.
#JohorSafeZone
#JDTRacingTeam
#ElPescao
#MalaysianCubPrix
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


