INDUSTRI AKUAKULTUR JOHOR CATAT NILAI PENGELUARAN RM1.01 BILION

Bagi terus memperkukuh sektor berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM550,000 pada 2027 bagi membantu pengusaha dalam mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan ternakan serta menyokong sasaran peningkatan hasil pengeluaran sebanyak tiga peratus setahun. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Industri akuakultur Johor terus menunjukkan potensi yang besar apabila nilai gabungan pengeluaran hasil akuakultur ikan makan dan ikan hiasan negeri ini mencapai kira-kira RM1.01 bilion pada tahun 2025.
Pencapaian itu merangkumi pengeluaran akuakultur ikan makan sebanyak 28,974.92 tan metrik dengan nilai RM796.52 juta serta 82.35 juta ekor ikan hiasan bernilai RM217.10 juta.
Bagi terus memperkukuh sektor berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM550,000 pada 2027 bagi membantu pengusaha dalam mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan ternakan serta menyokong sasaran peningkatan hasil pengeluaran sebanyak tiga peratus setahun.
Antara bantuan yang dirancang termasuk peralatan dan input ternakan, set penjana elektrik, pembangunan projek menggunakan sistem bioflok serta sistem solar hibrid bagi pengusaha ternakan ikan dalam sangkar.
Kerajaan Negeri turut meneruskan Projek Estet Kerang-Kerangan dengan peruntukan sebanyak RM300,000 pada 2027, melibatkan bantuan peralatan sokongan, input akuakultur serta pembekalan benih kerang kepada pengusaha yang terlibat.
Bagi memperluas peluang ekonomi nelayan, Kerajaan Negeri turut meneroka pembangunan ternakan kupang di perairan Sungai Balang hingga Parit Unas dan Parit Keroma, Muar, menerusi penggunaan teknologi seperti sistem P-Line atau Smartline.
Terdahulu, YB Tuan Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, menjawab soalan mengenai usaha serta perancangan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor akuakultur dan meningkatkan ekonomi nelayan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


