5 USUL DMJ DITERJEMAH DALAM BELANJAWAN JOHOR 2027

Lima usul yang dibawa DMJ merangkumi Tahun Melawat Johor, transformasi pengangkutan bas awam, pengurusan katil dan aliran pesakit hospital, perumahan orang muda serta pembangunan usahawan muda. | Foto FB DMJ
#IskandarPuteri – Dewan Muda Johor (DMJ) membuktikan peranannya sebagai platform perwakilan suara anak muda apabila lima usul yang diluluskan menerusi Persidangan Dewan Muda Johor 2026 telah diterjemahkan kepada inisiatif dan perancangan dalam Belanjawan Johor 2027.
Pengiktirafan terhadap usul berkenaan memperlihatkan kepentingan penglibatan anak muda dalam proses pembangunan negeri bukan sekadar ruang untuk menyuarakan pandangan, sebaliknya ia juga menjadi sebahagian daripada usaha membentuk dasar dan pembangunan yang dapat memanfaatkan rakyat.
Lima usul yang dibawa DMJ merangkumi Tahun Melawat Johor, transformasi pengangkutan bas awam, pengurusan katil dan aliran pesakit hospital, perumahan orang muda serta pembangunan usahawan muda, jelas Ahmad Solehin Abd Ghani, Koordinator DMJ.
Antara inisiatif yang mencerminkan penerimaan terhadap usul tersebut termasuk penyediaan 1,000 unit Rumah Orang Muda Johor, pelaksanaan Program Protege Usahawan Muda Johor, peluasan Bas Muafakat Johor kepada 62 laluan di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penambahbaikan sistem pengurusan pesakit di hospital terpilih.
Selain itu, sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi meneruskan dan memperluas inisiatif DMJ melalui penubuhan Dewan Muda PBT, penyertaan anak muda dalam menyumbang idea, mengetengahkan isu setempat dan membentuk kepimpinan bakal diperluas sehingga ke peringkat akar umbi.
DMJ kini mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan suara yang dibawa bukan sekadar menjadi cadangan, sebaliknya ia mampu diterjemahkan kepada manfaat sebenar melalui penglibatan, pemantauan dan kerjasama berterusan dengan pihak berkaitan.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#DMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


