DOMINASI LIMA MUSIM BUKTI LEGASI AKAR UMBI JDT III

Kejayaan JDT III menjuarai Piala Presiden 2026 meneruskan dominasi skuad muda Harimau Selatan apabila berjaya meraih kejuaraan kelima berturut-turut sejak 2022 dan gelaran keenam keseluruhan.
Kejayaan skuad Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim III (JDT III) menjulang kejuaraan Piala Presiden 2026 merupakan satu lagi detik bersejarah dalam arena bola sepak tanah air. Kemenangan tipis 2-1 ke atas pencabar terdekat pada Oktober lalu telah mengesahkan kejuaraan kelima berturut-turut buat skuad muda Harimau Selatan sejak musim 2022, sekali gus melakar gelaran keenam mereka secara keseluruhan.
Lebih membanggakan, kejayaan di bawah kendalian ketua jurulatih Pedro Collado Celda itu diraih dengan penuh bergaya apabila JDT III berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah yang luar biasa serta mengesahkan kejuaraan lebih awal dengan baki tiga perlawanan.
Pencapaian gemilang ini membuktikan secara tuntas bahawa dominasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak hanya bergantung kepada kehebatan pasukan utama di pentas Liga Super dan kejohanan Asia semata-mata, sebaliknya merupakan manifestasi daripada keberkesanan pelan induk serta pelaburan jangka panjang kelab dalam memperkasakan pembangunan akar umbi.
Sebagai satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuhnya dalam negara yang memiliki struktur lengkap dari peringkat Bawah-12 hingga Bawah-23 tahun serta memegang pengiktirafan Akreditasi AFC Dua Bintang, Akademi JDT berjaya menyediakan ekosistem latihan bertaraf dunia.
Keberkesanan sistem ini turut terserlah apabila barisan pemain yang sama menjadi tunjang utama kontinjen Johor dalam merangkul pingat emas bersejarah acara bola sepak lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus membuktikan bahawa sinergi antara pengurusan profesional, falsafah permainan yang seragam daripada peringkat remaja hingga ke skuad senior serta pendedahan kompetitif berterusan mampu melahirkan bakat tempatan berkualiti tinggi secara konsisten.
Kegemilangan JDT III musim ini turut dilengkapkan dengan pencapaian peribadi luar biasa penyerang muda berbakat besar mereka, Abid Safaraz Rozaidi yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Presiden 2026. Sepanjang kempen, ketajaman penyudah Abid menyaksikan beliau meledak 13 gol.
Kejuaraan Piala Presiden buat kali kelima berturut-turut serta kejayaan Abid Safaraz sebagai penjaring terbanyak membuktikan perancangan jangka panjang JDT membuahkan hasil dalam melahirkan bakat pelapis berkualiti tinggi demi masa depan kelab dan skuad kebangsaan.
Luaskan Kuasamu Johor!
#JohorSafeZone
#AkademiJDT
#PialaPresiden
#TheTMJeffect
#WeAreAMovement
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


