JOHOR PASTIKAN BAZAR LEBIH TERSUSUN, SELESA DAN MESRA RAKYAT

Kerajaan Johor menetapkan yuran tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada kadar di bawah RM500 di seluruh negeri bagi mengelakkan caj melampau, mengekang peranan orang tengah yang tidak bertanggungjawab serta memastikan peluang berniaga akan sentiasa kekal adil dan mampu disertai. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri — Kerajaan Johor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri terus memperkukuh pengurusan Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2026 bagi memastikan peluang rezeki bermusim kekal menjadi milik rakyat tempatan, selain penganjuran juga akan dilaksanakan secara lebih tersusun, adil dan berjiwa rakyat.
Bagi membela peniaga kecil dan menangani tekanan kos sara hidup, Kerajaan Johor menetapkan yuran tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada kadar di bawah RM500 di seluruh negeri bagi mengelakkan caj melampau, mengekang peranan orang tengah yang tidak bertanggungjawab serta memastikan peluang berniaga akan sentiasa kekal adil dan mampu disertai.
Pada tahun ini, sebanyak 224 lokasi bazar dengan 13,576 petak telah diluluskan di seluruh kawasan pentadbiran 16 PBT berbanding 228 lokasi dengan 12,757 petak pada tahun lalu. Penstrukturan semula ini dibuat bagi memastikan bazar yang dianjurkan benar-benar berdaya maju, selamat, bersih serta tidak menimbulkan kesesakan atau kacau ganggu kepada penduduk setempat.
Kerajaan Johor juga turut menegaskan larangan secara menyeluruh terhadap penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan bazar sama ada sebagai pemilik, penyewa, pengendali, wakil, proksi atau pekerja utama gerai tanpa sebarang kompromi.
Langkah tegas berkenaan dilaksanakan bagi memastikan peluang ekonomi bermusim ini akan terus kekal menjadi hak peniaga tempatan khususnya membabitkan usahawan mikro Johor, di samping menutup ruang eksploitasi serta penyalahgunaan lesen.
Kerajaan Johor turut mengarahkan semua PBT supaya memastikan proses permohonan tapak bazar ini dilaksanakan secara telus dan adil dengan keutamaan diberikan kepada peniaga tempatan serta mereka yang benar-benar bergantung kepada pendapatan bazar untuk kelangsungan hidup keluarga.
Pendekatan ini mencerminkan prinsip pentadbiran Kerajaan Johor yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, memperkasa ekonomi akar umbi serta memastikan peluang perniagaan bermusim dapat memberi manfaat sebenar kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BazarRamadan
#BazarAidilfitri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



