CERITA DISEBALIK ‘SAPU TANGAN’ DIRAJA

Penulis menyifatkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai seorang tokoh yang tegas, berkarisma dan berwibawa.

Oleh Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor
Tegas, berkarisma dan berwibawa. Itu tiga patah perkataan yang boleh penulis gambarkan secara peribadi mengenai tokoh yang amat disanjungi iaitu Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Gambaran ini bukan dicerap sehari dua, tetapi ia berpandukan kepada pengamatan berterusan penulis sendiri sepanjang lebih 16 tahun berkhidmat dan bertugas sebagai pengamal media di bumi yang bertuah ini.
Sepanjang tempoh itu, penulis juga berkesempatan melihat bagaimana era pemerintahan Seri Paduka Baginda telah mengubah landskap pembangunan Johor kepada ‘Harimau Ekonomi’ yang mengaum bukan sahaja di peringkat nasional tetapi mencakupi ke pentas antarabangsa.
Kesepaduan gandingan tiga figura utama Johor masa kini iaitu Seri Paduka Baginda, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ternyata berjaya menjadikan Johor lebih maju menerusi pertumbuhan eksponen yang mampan dan dinamik.
Sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Johor dan jajahan takluknya, Seri Paduka Baginda tidak hanya sekadar ‘duduk manis’ di atas singgah sana semata-mata, tetapi KDYMM Sultan Ibrahim telah memainkan peranannya sebagai penggerak kepada Johor yang lebih maju, sebagaimana yang sedang kita rasai dan bakal nikmati pada masa akan datang.
Sepanjang pemerintahan Seri Paduka Baginda, Johor telah melalui dekad perubahan yang terus memberangsangkan. Demi Johor, Seri Paduka Baginda sentiasa sanggup memainkan peranan penting bagi memastikan negeri dan Bangsa Johor dapat hidup dalam suasana yang makmur, rukun, damai dan sejahtera.
Daripada seorang ‘Field Marshal’ ketenteraan kepada ‘insinyur’ pembangunan… daripada arkitek ekonomi kepada duta diplomatik… daripada aktivis sosial kepada penegak sivil… daripada negarawan nasionalis kepada penjelajah pelaburan… semua peranan ini dimainkan demi Johor dan tidak terkecuali, untuk Malaysia yang kita cintai.
Namun daripada banyak peranan yang mungkin sudah disebut atau mungkin belum disebut, bagi penulis…. mungkin bagi anda juga… jika tidak keterlaluan… Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim juga turut memainkan peranan sebagai seorang BAPA KEPADA KITA SEMUA.
Di sinilah bermulanya CERITA DISEBALIK SAPU TANGAN DIRAJA. Di sebalik sifat tegas, karisma dan berwibawa itu… jauh di lubuk sanubari Seri Paduka Baginda tersimpan kemas sifat mudah tersentuh, penyayang, rasa peduli, cakna dan paling penting… mencari solusi terbaik dalam membantu rakyat secara keseluruhan.
Mungkin orang tidak perasan mengenai hal ini. Mungkin penulis yang terlalu ‘mengidolakan’ Seri Paduka Baginda dan DYAM Tunku Mahkota Ismail sering memerhatikan bahasa lenggok tubuh, titah bicara kerana peribahasa juga ada menyebut… ‘Mengambil Contoh Kepada Yang Sudah, Mengambil Tuah Kepada Yang Menang.
Kalaulah sapu tangan Seri Paduka Baginda itu boleh berbicara… sudah pasti ia tidak akan segan silu untuk menjadi saksi berapa banyak titisan linangan air mata, menceritakan sisi lain yang terdapat pada diri sosok tubuh yang amat dihormati oleh Bangsa Johor ini. Titisan air mata yang terbit dan ditumpahkan ketika saat rakyat dalam keadaan suka mahupun dikala berduka.
Seri Paduka Baginda sentiasa bertegas sekiranya sesuatu hal itu mengenai kepentingan rakyat, sudah tentu ia tidak dapat dikompromi sama sekali. Hal ehwal rakyat sentiasa dipandang serius kerana di hati Seri Paduka Baginda… Bangsa Johor adalah segala-galanya.
Sebagai seorang yang berkarisma dan berwibawa, sudah tentu emosi akan dikawal secepat mungkin dengan solusi dicari untuk menyelesaikannya. Atas sebab itulah, segala tindakan yang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda akan dilakukan dengan penuh berhemah melalui jalan musyawarah bersama Menteri Kabinet di peringkat Persekutuan atau YAB Menteri Besar Johor dan Exco Kerajaan Johor di peringkat negeri.
Untuk memastikan Johor sentiasa sejahtera, Seri Paduka Baginda juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan melaksanakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang bukan hanya diadakan untuk bertemu rakyat semata-mata… tetapi ia menjadi jalan terbaik untuk mengetahui keadaan sebenar, masalah yang dihadapi dan bersama-sama mencari kaedah terbaik demi mensejahterakan Bangsa Johor.
Demi kesejahteraan Bangsa Johor yang berbilang bangsa dan keturunan, Seri Paduka Baginda sendiri dengan bermurah hati telah menubuhkan beberapa Yayasan DiRaja seperti Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ); Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ); Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ); Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).
Setiap yayasan ini ditubuhkan oleh Seri Paduka Baginda bersama-sama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah demi membantu semua Bangsa Johor tanpa ada yang terkecuali.
Ia bukan soal kebajikan semata-mata, tetapi kesemua yayasan ini turut berfungsi untuk memperkasakan kehidupan Bangsa Johor yang lebih sejahtera dan mampan.
‘Sapu Tangan DiRaja’ ini juga menjadi peneman paling akrab dalam diri Seri Paduka Baginda khususnya apabila berlakunya sesuatu musibah bencana misalannya. Ketika bencana banjir berlaku, tidak keterlaluan untuk dikatakan, Seri Paduka Baginda dan Keluarga DiRaja Johor jugalah yang akan menjadi orang pertama tiba untuk menghulurkan bantuan kepada Bangsa Johor yang terkesan dengan musibah terbabit.
Di sini, Sapu Tangan DiRaja sekali lagi menjadi saksi terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda apabila bantuan yang dihulurkan ini turut disertakan dengan sokongan psikologi apabila turut menyantuni mangsa banjir. Mungkin bagi orang lain, musibah mungkin sesuatu yang menyedihkan, tetapi ‘mungkin’ juga ia sedikit agak kurang terasa bagi Bangsa Johor.
Mungkin paling diingati oleh penulis ketika masih menjadi wartawan dahulu ialah bagaimana Seri Paduka Baginda tanpa sebarang protokol bukan sahaja turun padang… tetapi juga turut sama menyingsingkan lengan untuk ‘memasak nasi goreng’ dengan menggunakan periuk besar untuk dihidangkan kepada mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Gemereh 4, Segamat sekitar Januari 2016 yang lalu.
Begitu juga ketika pandemik Covid-19 melanda negara dahulu, Seri Paduka Baginda bersama seluruh anggota Keluarga DiRaja Johor juga menjadi ‘orang pertama’ yang menghulurkan bantuan sehingga ke seluruh pelosok Negeri Johor ini.
Bagi Seri Paduka Baginda dan Keluarga DiRaja Johor… jangan sampai tiada satu makanan pun di atas meja rakyatnya dan atas sebab itulah, setiap bantuan ini akan dipastikan akan tetap sampai walaupun seceruk mana pun Bangsa Johor itu berada.
Cerita Sapu Tangan DiRaja ini belum berakhir. Sapu tangan ini juga menjadi saksi kepada titisan air mata tanda syukur dan terharu yang ada dalam diri Seri Paduka Baginda. Rasa syukur dan terharu apabila setiap Bangsa Johor dapat menikmati hidup dalam suasana muafakat dan sejahtera.
Di sebalik perwatakan tegas, karisma dan berwibawa ini, Sapu Tangan DiRaja ini juga menjadi bukti kepada sisi lain terhadap keramahan, sopan santun dan sifat mudah untuk didekati yang ada pada diri Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda sememangnya amat mudah untuk didekati oleh rakyatnya sekalipun mereka itu hanyalah seorang anak kecil sekali pun. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, mungkin sudah ramai antara kita dalam kalangan Bangsa Johor yang sekurang-kurangnya mempunyai ‘potret kenangan peribadi’ bersama Seri Paduka Baginda atau Keluarga DiRaja Johor yang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mungkin ia perkara yang agak asing atau diluar kebiasaan bagi sesetengah orang di luar Johor tetapi tidak bagi Bangsa Johor sendiri. Faktanya, Seri Paduka Baginda adalah tokoh paling mudah untuk didekati dan ditemui. Kalau ada yang mengikuti rapat media sosial rasmi Seri Paduka Baginda, sudah pasti akan mengetahuinya.
Bukan hanya melalui KMJ sahaja, Seri Paduka Baginda boleh mencemar duli di tempat yang tidak dapat diduga. Dari warung kecil di kampung-kampung hingga Hentian Rehat dan Rawat (R&R)… Masjid dan surau sudah tidak terkiranya banyaknya. Ia menjadi ‘pentas kecil’ yang membolehkan seorang Raja bertemu dengan rakyatnya.
Itu belum lagi ditambah dengan kehadiran Seri Paduka Baginda yang hanya bermotosikal ‘kapcai’ menjelajah kampung untuk menjengah kehidupan rakyatnya sebagaimana yang dialami sendiri oleh penduduk di Kampung Lepau, Pengerang, Kota Tinggi atau melihat Seri Paduka Baginda yang hanya berjalan kaki mengelilingi beberapa kawasan di sekitar Bandar Muar, sebelum ini.
Sesungguhnya, Bangsa Johor amat bertuah kerana memiliki seorang pemerintah yang amat menyayangi rakyatnya.
Mungkin juga di sebalik sujud terakhir di tikar sejadah… di sebalik tangan yang ditadahkan… di sebalik doa yang dipanjatkan kepada Ilahi… mungkin sebahagian besarnya adalah untuk kesejahteraan Negeri dan Bangsa Johor.
Daulat Tuanku. Allah Peliharakan Sultan.
#SultanIbrahim
#YangDiPertuanAgong
#RajaKitaSelamatBertahta
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


