JOHOR KEKAL PENYUMBANG TERBESAR SEKTOR PERTANIAN NEGARA

Negeri Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar sektor pertanian negara apabila merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM18.39 bilion pada tahun 2025, bersamaan 17.3 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor pertanian di Malaysia. / Foto MDJ Nurina
#IskandarPuteri – Negeri Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar sektor pertanian negara apabila merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM18.39 bilion pada tahun 2025, bersamaan 17.3 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor pertanian di Malaysia.
Pencapaian itu mencerminkan sumbangan subsektor tanaman, penternakan, perikanan dan akuakultur serta industri asas tani dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri, di samping memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Bagi mengekalkan kedudukan tersebut, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat pembangunan pertanian moden menerusi Johor Agriculture Research and Development Centre (J-ARDC) yang dibangunkan oleh Johor Biotech sebagai pusat sehenti penyelidikan, pembangunan dan inovasi pertanian.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 10 Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai bersama pemain industri menerusi J-ARDC, melibatkan lima bidang tumpuan iaitu akuakultur, bioteknologi dan ketahanan tanaman, pertanian pintar dan agroteknologi, ruminan serta sektor pemprosesan hiliran.
Dalam subsektor penternakan pula, projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) di Mersing merekodkan peningkatan pengeluaran susu segar Johor sebanyak 40 peratus kepada 9.1 juta liter sehingga September 2026, berbanding 6.5 juta liter bagi tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan industri tenusu itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Dutch Lady Malaysia yang diumumkan pada 10 November lalu, melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 35 peratus bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran susu segar tempatan.
Sementara itu, industri asas tani negeri mencatatkan nilai jualan RM363 juta sehingga suku ketiga 2026, melibatkan seramai 1,591 usahawan di seluruh Johor, sekali gus memperlihatkan potensi produk hiliran pertanian dalam menjana nilai tambah ekonomi tempatan.
Bagi merancakkan lagi pembangunan sektor berkenaan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM48.8 juta pada tahun 2026 bagi melaksanakan 48 program dan projek merangkumi sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri asas tani.
Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada enam fokus strategik, termasuk pendigitalan sektor pertanian, pengukuhan pengeluaran agromakanan, penerapan teknologi dan mekanisasi, pembangunan modal insan serta peluasan pasaran produk pertanian bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing dan mampan.
Terdahulu, YB Tuan Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan berhubung pencapaian utama sektor pertanian Johor sepanjang tahun 2026 serta usaha mengekalkan kedudukan negeri sebagai penyumbang utama sektor pertanian negara pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#PertanianJohor
#KeterjaminanMakanan
#Agroteknologi
#EkonomiJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


