KES DENGGI DI JOHOR MENURUN LEBIH 50 PERATUS

Penemuan tempat pembiakan di kawasan dalam kediaman masih menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang perlu dipertingkatkan, khususnya dalam aspek pembersihan dan pengurusan bekas takungan air. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri — Johor terus menunjukkan pencapaian kesihatan awam yang memberangsangkan apabila kes demam denggi yang direkodkan pada tahun 2025 menurun sebanyak 53.3 peratus berbanding tahun 2024, iaitu daripada 13,190 kes kepada 6,161 kes.
Trend penurunan ini berterusan pada tahun 2026 apabila enam minggu pertama mencatatkan pengurangan sebanyak 14.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu daripada 813 kes kepada 694 kes.
Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan bersepadu yang dilaksanakan oleh agensi kesihatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sokongan yang diterima daripada anggota masyarakat dalam memastikan persekitaran lebih bersih, selamat dan sihat.
Selain itu, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) nyamuk Aedes terus dilaksanakan oleh anggota kesihatan di dalam dan luar rumah bagi menghapuskan kawasan berisiko pembiakan nyamuk yang menjadi punca kepada penyakit demam denggi.
Bagaimanapun, penemuan tempat pembiakan di kawasan dalam kediaman masih menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang perlu dipertingkatkan, khususnya dalam aspek pembersihan dan pengurusan bekas takungan air.
Sehingga Februari ini, sebanyak 888 kompaun bernilai RM444,000 telah dikeluarkan menerusi aktiviti penguatkuasaan, dengan 63 peratus daripadanya telah dijelaskan.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mewakili YAB Menteri Besar Johor ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional bagi membincangkan usaha mempertingkatkan tahap kesihatan rakyat serta memperkukuh langkah pencegahan penyakit berjangkit di negara ini.
#JohorSafeZone
#JohorPerangiDenggi
#JohorBersih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


