JOHOR MANFAATKAN KRISIS GLOBAL, PERKUKUH EKONOMI NEGERI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan perasmian pada Forum Strategik JS-SEZ anjuran United Overseas Bank (UOB) yang berlangsung di Hotel Sheraton Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik bersenjata di Asia Barat serta tekanan geopolitik yang semakin memuncak, Johor tetap tampil sebagai antara negeri yang berupaya memanfaatkan situasi ini untuk memperkukuh kedudukan iktisadnya.
Walaupun berlaku krisis gangguan tenaga dan rantaian bekalan global dijangka memberi kesan kepada ekonomi dunia, Johor kekal bergerak dengan strategi yang tersusun melalui pengukuhan kerjasama serantau serta pemerkasaan ekosistem pelaburan yang lebih berdaya tahan dan dinamik.
Pendekatan ini diterjemahkan menerusi pemerkasaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai antara platform strategik dalam memperkukuh integrasi ekonomi rentas sempadan serta membuka peluang baharu dan pilihan terbaik kepada pelabur antarabangsa.
Kerjasama erat bersama Singapura terus menjadi pemacu utama dalam memastikan Johor kekal relevan dan kompetitif dalam menarik kehadiran pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan terutama dari sudut serantau.
Di sebalik ketidaktentuan global muktakhir ini, asas ekonomi negara kekal kukuh apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) pula menjangkakan pertumbuhan antara empat hingga lima peratus.
Bagaimanapun, Kerajaan Johor tetap kekal berwaspada terhadap impak ekonomi kepada rakyat khususnya membabitkan tekanan inflasi dan kos sara hidup dengan pelaksanaan langkah bersasar bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara.
Bagi tujuan itu, tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan rantaian bekalan serta memperluas jaringan perdagangan sebagai langkah proaktif bagi menghadapi sebarang perubahan landskap ekonomi global masa kini.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Johor bukan sahaja kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, malah sebagai lokasi selamat dan stabil untuk perniagaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan perasmian pada Forum Strategik JS-SEZ anjuran United Overseas Bank (UOB) yang berlangsung di Hotel Sheraton Johor Bahru, hari ini. Hadir sama ialah YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor.
#JohorSafeZone
#WTN
#JohorHomeOfChampions
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


