JOHOR BAHRU PACU PEMBANGUNAN BANDAR AI BERTERASKAN TEKNOLOGI 5G

Pelancaran Program Bandar Kecerdasan Buatan (AI) anjuran bersama Kementerian Digital dan Digital Nasional Berhad di Menara MBJB. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Kementerian Digital mengambil langkah proaktif melaksanakan projek-projek pintar berteraskan Kecerdasan Buatan (Ai) dan teknologi 5G dalam memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan rakyat di Johor.
Bagi tujuan itu, Kementerian Digital menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) telah memperuntukan sebanyak RM2.78 juta kepada MBJB di bawah program ‘AI Cities Grant’, sekali gus menjadikannya sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima peruntukan terbesar dalam merealisasikan Johor Bahru sebagai bandar pintar berteraskan teknologi Ai dan 5G yang mampan serta inklusif.
Inisiatif ini telah dimanfaatkan menerusi penggunaan tiga unit dron berteknologi Ai iaitu dron pertama berperanan sebagai ‘first responder’ iaitu dron AED yang mampu menyalurkan bantuan awal kepada pesakit jantung dengan lebih pantas dan dron ini juga berkeupayaan menyokong operasi kecemasan dengan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terperangkap dalam situasi bencana.
Dron kedua merupakan dron pemantauan trafik secara masa nyata (real-time) bagi mengesan kesesakan, kemalangan serta menyokong pengurusan aliran trafik dengan lebih berkesan serta dron ketiga adalah dron berteknologi LiDAR yang berperanan membantu MBJB dalam memperkukuh tadbir urus bandar melalui pemetaan tiga dimensi (3D) serta pembangunan ‘digital twin’.
Selain itu, projek kedua di bawah peruntukan ‘AI Cities Grant’ ini adalah sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar berasaskan AI menggunakan tenaga solar, tanpa wayar serta dilengkapi teknologi 5G yang dipasang khusus di 24 zon Ahli Majlis bagi pemantauan pembuangan sampah haram dan isu vandalisme.
Selain itu pihak MBJB juga sedang giat melaksanakan tambahan pemasangan 2,000 unit CCTV berteknologi AI bermula pada tahun ini bagi memperluaskan lagi radius liputan pemantauan CCTV di seluruh kawasan pentadbiran MBJB.
Terdahulu, telah berlangsungnya Pelancaran Program Bandar Kecerdasan Buatan (AI) anjuran bersama Kementerian Digital dan Digital Nasional Berhad di Menara MBJB, Johor Bahru yang dirasmikan oleh YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Digital.
Turut hadir ialah YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor; YB Dato’ Haji. Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB; YBrs. Tuan Shakib Ahmad Shakir Jamaluddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Pengurusan) Kementerian Digital dan YBhg. Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad.
#JohorSafeZone
#MBJB
#KementerianDigital
#GreaterJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


