JOHOR SALUR RM10.8 JUTA PERKUKUH PENDIDIKAN ISLAM DI BATU PAHAT

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Program Ramah Mesra Aidilfitri dan Penyerahan Bantuan Pasca Ramadan di Sekolah Agama (SA) Bandar Batu Pahat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#BatuPahat – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda pendidikan Islam di negeri ini apabila menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10.8 juta yang melibatkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif khusus demi kepentingan umat Islam di daerah Batu Pahat.
Peruntukan tersebut merangkumi bantuan penyelenggaraan dan naik taraf institusi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM8.2 juta, selain bantuan baik pulih Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) sebanyak RM1.3 juta bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih selesa dan kondusif.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan pengurusan tahfiz sebanyak RM485,130 serta bantuan khas kepada guru tahfiz dan pondok berjumlah RM121,500 sebagai usaha memperkasa institusi pendidikan Islam dan kebajikan tenaga pengajarnya.
Sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan turut dizahirkan melalui bantuan ‘one-off’ sebanyak RM339,000 kepada badan kebajikan sekolah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), selain RM54,000 pula diperuntukkan bagi insentif pensijilan halal kantin SAKJ tahun 2026.
Selain itu, Kerajaan Johor juga tidak meminggirkan golongan memerlukan apabila turut memperuntukkan sejumlah RM325,531 sebagai bantuan kepada anak Orang Asli, sekali gus memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan Islam serta menjaga kebajikan warga sekolah demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, seimbang dan berdaya saing.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Program Ramah Mesra Aidilfitri dan Penyerahan Bantuan Pasca Ramadan di Sekolah Agama (SA) Bandar Batu Pahat hari ini.
#JohorSafeZone
#PPIDBatuPahat
#PendidikanIslamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


