KERAJAAN JOHOR PERMUDAH AGIHAN BKJ WARGA EMAS, PENERIMA UZUR TIDAK PERLU HADIR

Kerajaan Johor komited untuk terus menambah baik pelaksanaan BKJ dari semasa ke semasa demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap, teratur serta menyeluruh kepada golongan yang memerlukan. | Foto FB Khairin Nisa Ismail
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor melaksanakan penambahbaikan segera terhadap proses agihan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Warga Emas bagi memastikan urusan penyampaian bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, tersusun dan mesra penerima.
Langkah tersebut dilaksanakan susulan maklum balas serta aduan yang diterima daripada rakyat berhubung situasi di beberapa lokasi penyerahan bantuan termasuk melibatkan penerima warga emas yang terpaksa menunggu dan beratur dalam tempoh yang agak lama.
Kerajaan Negeri turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku sepanjang proses penyampaian bantuan dan mengambil serius setiap segala pandangan serta teguran diterima bagi memastikan pelaksanaan inisiatif kebajikan itu dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
Penambahbaikan tersebut dilaksanakan bagi memastikan kebajikan penerima sentiasa diberi keutamaan khususnya melibatkan golongan warga emas, uzur dan penerima yang mempunyai kekangan masalah kesihatan.
Antara langkah proaktif yang diperkenalkan ialah pewujudan butang khas “Saya adalah penerima uzur / OKU” dalam sistem BKJ Johor bagi memudahkan penerima uzur, sakit terlantar, berkerusi roda, OKU, baharu selesai bersalin serta individu yang baharu kehilangan suami atau waris terdekat membuat semakan dan pengesahan tanpa perlu hadir secara fizikal.
Menerusi mekanisme itu, penerima yang benar-benar tidak mampu menghadirkan diri ke lokasi penyerahan bantuan juga tidak diwajibkan hadir dan bantuan akan disampaikan melalui kaedah lebih bersesuaian termasuk menerusi kaedah penyerahan khas atau penghantaran terus ke rumah penerima mengikut keadaan semasa.
Kerajaan Negeri turut membenarkan wakil mengambil bantuan bagi pihak penerima tertentu dengan membawa surat wakil, salinan kad pengenalan penerima serta pengesahan ketua kampung, penghulu atau pihak berkaitan sekiranya diperlukan.
Langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan penerima yang uzur atau mempunyai kekangan masalah kesihatan tidak perlu bersusah payah hadir serta menunggu lama ketika proses penyerahan bantuan berlangsung.
Kerajaan Johor komited untuk terus menambah baik pelaksanaan BKJ dari semasa ke semasa demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap, teratur serta menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BKJWargaEmas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


