POLIS JOHOR BERJAYA MUSNAHKAN DUA BOM LAMA


Polis Johor berjaya memusnahkan dua butir bom lama yang ditemui di Felcra Tebing Tinggi, Segamat / Foto Ihsan Polis Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor berjaya memusnahkan dua butir bom lama atau ‘unexploded ordnance (UXO)’ jenis Aerial Bom 20LBS dan Artillery Shell 85mm di Ladang Kelapa Sawit Felcra Tebing Tinggi, Segamat.

Dalam kenyataan di laman sosial rasmi Polis Johor berkata, Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dikerahkan ke lokasi berkenaan.

Bahan peledak UXO berkenaan ditemui oleh pekerja ladang kelapa sawit di Felcra berkenaan ketika sedang melakukan kerja pembersihan di sekitar ladang komoditi terbabit.

Justeru, pihak UPB IPK Johor dan IPD Segamat kemudiannya melakukan tindakan pemusnahan bom berkenaan dengan menggunakan teknik ‘high order’ melalui kaedah elektrik kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

Pemusnahan bom terbabit berjaya dilakukan dengan lancar tanpa sebarang kehilangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Menerusi kenyataan sama, Polis Johor juga menasihatkan orang ramai sekiranya menemui sebarang objek yang mencurigakan atau dipercayai bom, sila melaporkan segera ke mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Polis Johor juga mengingatkan supaya objek yang mencurigakan itu jangan sesekali diusik, dialih atau digerakkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor