MB JOHOR MELAWAT KAWASAN TERKESAN BANJIR KILAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat kawasan sekitar Taman Melodies, Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Banjir kilat sekitar bandar raya Johor Bahru berikutan hujan lebat berterusan semalam, mendapat perhatian kepimpinan negeri.

Kesibukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan jadual tugasan harian, tidak menjadi penghalang untuk dirinya melawat sendiri lokasi yang terjejas.

Beliau telah mengunjungi dan meninjau kawasan di sekitar Taman Melodies, Johor Bahru lewat malam semalam, yang dimaklumkan telah terkesan akibat banjir kilat.

“Saya telah melawat kawasan di sekitar Taman Melodies, Johor Bahru yang terkesan akibat banjir kilat siang tadi.

“Insiden ini berlaku apabila hujan turun tanpa henti sekitar empat jam sejak jam 4 petang tadi, dengan jumlah taburan hujan sebanyak 113.5mm.

“Dan ini pula ditambah dengan bermulanya air laut pasang setelah berlakunya banjir,” katanya dalam Facebook rasminya.

Onn Hafiz berkata, bacaan taburan hujan tertinggi telah direkodkan sekitar jam 6 petang di sekitar bandar raya Johor Bahru iaitu sebanyak 77mm/jam.

“Kini METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) juga meramalkan hujan lebat sepanjang minggu ini.

“Orang ramai dinasihati untuk berwaspada dan menjaga keselamatan diri. Ikuti perkembangan cuaca menerusi saluran info rasmi, agar mendapat bacaan hujan yang tepat bagi sesuatu tempat,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor