KERAJAAN JOHOR SELESAIKAN 99.99 PERATUS HAK MILIK PENEROKA FELDA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni salah seorang daripada 210 penerima pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Taman Sri Lambak, Kluang. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kluang – Kerajaan Negeri mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya menyelesaikan 27,639 permohonan hak milik peneroka FELDA atau 99.99 peratus daripada jumlah keseluruhan 27,642 permohonan di seluruh Johor.
Pencapaian positif berkenaan direkodkan susulan penyerahan hak milik kepada 210 peneroka menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA yang berlangsung hari ini.
Kejayaan tersebut secara tidak langsung membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu hak milik yang telah sekian lama dinantikan oleh warga FELDA, selain ia juga dapat memastikan kebajikan masyarakat peneroka terus diberikan keutamaan.
Bagi warga FELDA, penerimaan hak milik tanah bukan sekadar penyerahan dokumen, malah ia juga menjadi simbol pengiktirafan terhadap pengorbanan dan jasa peneroka yang telah membangunkan tanah rancangan serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri sejak sekian lama.
Keputusan Kerajaan Negeri untuk meneruskan majlis penyerahan hak milik berkenaan turut mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat, khususnya hal ehwal yang berkaitan warga FELDA yang menjadi antara tunjang pembangunan luar bandar di Johor.
Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa warga FELDA sentiasa dianggap sebagai ‘anak emas Johor’, yang bukan sahaja diberi perhatian khusus dalam agenda pembangunan negeri, malah terus menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar demi, sekali gus dapat memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
Komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui pelbagai bantuan dan inisiatif kepada masyarakat luar bandar turut membuktikan bahawa kesejahteraan warga FELDA kekal menjadi antara agenda penting dalam pembangunan negeri.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA melibatkan 210 penerima di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Taman Sri Lambak, Kluang.
Turut hadir ialah YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor; YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor serta YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



