19 PENDUDUK KAMPUNG MELAYU MAJIDI TERIMA NOTIS 5A

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyaksikan penyerahan Notis 5A oleh YBhg. Tuan Haji Syed Norul Shahril Syed Nasir, Pentadbir Tanah Johor Bahru, kepada 19 penduduk Kampung Melayu Majidi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Penantian sekian lama 19 penduduk Kampung Melayu Majidi akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menerima Notis 5A bagi permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah yang membuka laluan ke arah penyambungan pajakan selama 99 tahun.
Penyerahan Notis 5A itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mendengar keluhan penduduk berkaitan status tanah di Kampung Melayu Majidi serta memastikan setiap permohonan yang memenuhi syarat diproses secara teratur mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Penduduk, Shahrin Ahmad, 51, yang merupakan generasi ketiga Kampung Melayu Majidi menyifatkan penerimaan Notis 5A tersebut sebagai satu kelegaan selepas menunggu hampir setahun, selain memuji proses permohonan yang telah dipermudahkan oleh Pejabat Tanah sehingga semua dokumen dapat dilengkapkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu.
Beliau berkata, pembaharuan tempoh pajakan itu bukan sahaja meningkatkan nilai hartanah miliknya, malah turut memberi jaminan kepada generasi akan datang untuk terus memanfaatkan tanah berkenaan, selain bersyukur apabila menikmati diskaun premium sebanyak 50 peratus.
Dzulkifli Hamzah, 58, pula berkata usaha Kerajaan Negeri itu membuktikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian, sekali gus mengembalikan keyakinan penduduk terhadap masa depan pemilikan tanah mereka yang telah diperjuangkan selama ini.
Kerajaan Negeri turut memaklumkan bahawa permohonan lain yang memenuhi syarat akan diproses secara berperingkat, selain bertekad membantu sedaya upaya bagi memastikan lebih ramai penduduk memperoleh pembaharuan tempoh pajakan tanah dengan status pajakan yang sah di sisi undang-undang.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyaksikan penyerahan Notis 5A oleh YBhg. Tuan Haji Syed Norul Shahril Syed Nasir, Pentadbir Tanah Johor Bahru, kepada 19 penduduk Kampung Melayu Majidi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi, hari ini.
#JohorSafeZone
#KampungMelayuMajidi
#Notis5A
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


