GELOMBANG RASIONAL BANGSA JOHOR: APABILA PRESTASI MENGATASI RETORIK

Semangat untuk melihat Johor terus berkembang sebagai sebuah negeri yang stabil dan berdaya saing dilihat menjadi antara elemen yang mempengaruhi pertimbangan pengundi. | Foto Arkib MDJ
Oleh: Ku Hasnan Ku Halim
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia merangkap Penyelidik Utama IMPACT Pusat Pengajian Umum UTHM
1. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bukan sekadar mencatat kemenangan besar kepada kerajaan yang memerintah, ia sebenarnya telah membuka ruang kepada satu persoalan lebih besar.
2. Adakah keputusan ini lahir daripada gelombang politik biasa atau ia mencerminkan perubahan cara Bangsa Johor dalam membuat pilihan?
3. Jika dilihat kepada corak keputusan di seluruh negeri ini, terdapat petunjuk jelas bahawa sebahagian besar pengundi kini membuat penilaian berdasarkan prestasi pentadbiran, kestabilan politik dan hala tuju pembangunan Johor.
4. Tumpuan pengundi dilihat lebih menjurus kepada persoalan sama ada dasar yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada kehidupan mereka berbanding retorik atau polemik politik sepanjang kempen.
5. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Johor menyaksikan pelbagai agenda pembangunan telah disusun dan digerakkan termasuk usaha menarik pelaburan, memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan, membangunkan infrastruktur serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
6. Faktor-faktor ini dilihat membentuk persepsi naratif bahawa kesinambungan pentadbiran mampu memberikan keyakinan terhadap masa depan negeri.
7. Apa yang turut menarik perhatian ialah andaian bahawa kepulangan pengundi luar Johor akan mengubah keputusan pilihan raya seperti yang pernah berlaku pada masa lalu, ternyata ia tidak menjadi kenyataan.
8. Sebaliknya, keputusan PRN Johor 2026 menunjukkan kelompok pengundi ini tidak lagi boleh dianggap mempunyai kecenderungan politik yang seragam.
9. Mereka terdiri daripada golongan profesional, penjawat awam, usahawan, graduan muda dan pekerja sektor swasta yang berkemungkinan membuat penilaian berdasarkan realiti ekonomi semasa, peluang pekerjaan dan prospek pembangunan negeri.
10. Fenomena ini turut memperlihatkan perubahan terhadap kelompok pengundi atas pagar atau ‘swing voter’. Jika sebelum ini, mereka sering dikaitkan sebagai pengundi protes, kini mereka dilihat lebih cenderung menilai keberkesanan pentadbiran sebelum membuat keputusan.
11. Keutamaan terhadap kestabilan politik, keyakinan ekonomi dan keberkesanan dasar dilihat menjadi antara pertimbangan utama dalam kalangan pengundi untuk membuat pilihan.
12. Pada masa sama, kempen yang berteraskan serangan peribadi, politik kebencian dan sentimen melampau dilihat tidak lagi menjadi faktor dominan dalam mempengaruhi keputusan pengundi.
13. Sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana sesuatu pentadbiran kerajaan mampu membuktikan hasil yang boleh dirasai sendiri oleh rakyat.
14. Perkembangan ini juga memberi gambaran bahawa identiti Bangsa Johor terus memainkan peranan sebagai faktor penyatuan yang merentasi latar belakang masyarakat.
15. Semangat untuk melihat Johor terus berkembang sebagai sebuah negeri yang stabil dan berdaya saing dilihat menjadi antara elemen yang mempengaruhi pertimbangan pengundi.
16. Namun, sebarang tafsiran terhadap keputusan PRN Johor 2026 perlu dilihat secara objektif. Untuk mengesahkan sama ada benar-benar wujud satu ‘Gelombang Rasional Bangsa Johor’, dapatan ini masih memerlukan kajian empirikal yang lebih menyeluruh termasuk analisis data pengundian dan kajian pasca pilihan raya mengikut demografi.
17. Apa yang pasti, keputusan PRN Johor kali ini memberi isyarat bahawa budaya politik semakin berkembang ke arah penilaian berasaskan prestasi, dasar dan keberkesanan pentadbiran.
18. Dalam landskap politik yang semakin matang, pengundi dilihat semakin menuntut hasil yang nyata, sekali gus menjadikan prestasi sebagai ukuran utama dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
(Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang redaksi Media Digital Johor)



