MANDAT BAHARU, TERUSKAN AGENDA MAJU JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua di hadapan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. | Foto FB HRH Crown Prince of Johor

 

#JohorBahru – Mandat baharu yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Johor Ke-16 bakal membuka lembaran baharu kepada kesinambungan Agenda Maju Johor 2030 apabila YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua.

 

Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Johor itu berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru di hadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Pelantikan semula beliau sebagai Menteri Besar itu menyusuli kemenangan Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Negeri Johor (DUN), sekali gus membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

Menerusi mandat besar yang diberikan rakyat, Kerajaan Johor dijangka akan meneruskan pelaksanaan Agenda Maju Johor 2030 yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi berimpak tinggi, penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan modal insan, penyediaan perumahan mampu milik, pemerkasaan kesejahteraan rakyat serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.

 

Kesinambungan pentadbiran itu turut dijangka memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik negeri termasuk usaha menarik pelaburan berkualiti, mempercepat pembangunan infrastruktur, memperkasakan sektor pendidikan dan kemahiran serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh Bangsa Johor.

 

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MenteriBesarJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor