KERJASAMA INDUSTRI LAHIRKAN 37 LAGI TENAGA KERJA MAHIR JOHOR

Program ADI yang diperkenalkan pada Jun 2023 merupakan inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor restoran perkhidmatan segera di Malaysia, dengan KFC Malaysia bertindak sebagai rakan industri yang membantu membangunkan serta melaksanakan silibus vokasional berkaitan Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan Segera. | Foto Yayasan JCorp

 

#IskandarPuteri – Seramai 37 graduan berjaya menamatkan Program Akademi Dalam Industri (ADI) Kohort 2 baru-baru ini, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran yang bersedia memasuki alam pekerjaan menerusi kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan berkaitan.

 

Program yang dilaksanakan menerusi kerjasama QSR Brands, Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu menggabungkan pembelajaran di bilik darjah dengan latihan industri sebenar di restoran KFC Malaysia selama hampir dua tahun.

 

Program ADI yang diperkenalkan pada Jun 2023 merupakan inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor restoran perkhidmatan segera di Malaysia, dengan KFC Malaysia bertindak sebagai rakan industri yang membantu membangunkan serta melaksanakan silibus vokasional berkaitan Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan Segera.

 

Kohort terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan graduan ADI yang berjaya dilahirkan menerusi KFC Malaysia kepada 60 orang, selepas 23 pelajar daripada kohort pertama berjaya menamatkan program berkenaan pada Mac 2025.

 

Kesemua 37 graduan yang majoritinya terdiri daripada keluarga B40 menjalani latihan di restoran KFC sekitar Johor Bahru, sekali gus memperoleh pendedahan secara langsung kepada operasi restoran, penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan serta piawaian di tempat kerja.

 

Program berkenaan turut mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan kadar kelulusan 100 peratus bagi Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3, manakala 95 peratus daripada graduan turut lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Untuk rekod, setiap graduan menerima lima kelayakan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV), SKM Tahap 2, SKM Tahap 3, Sijil Tamat Program serta Sijil Penghargaan QSR Brands, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.

 

#JohorSafeZone
#TVET
#YayasanJCorp
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor