HAB FASILITASI J-ARDC BAKAL JADI PEMANGKIN TRANSFORMASI PERTANIAN JOHOR

YB Tuan Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor meninjau perkembangan semasa projek J-ARDC serta memperhalusi hala tuju pembangunan pusat berkenaan bersama Johor Biotech. | Foto FB Israk Abdullah
#IskandarPuteri – Pembangunan Hab Fasilitasi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Johor (Johor Agriculture Research and Development Centre – J-ARDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian di negeri ini menerusi pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi.
Inisiatif yang dibangunkan di Medini Iskandar itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dalam memperkasa sektor pertanian berasaskan penyelidikan, teknologi dan inovasi.
Menerusi Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebayak RM2 juta bagi tujuan pembangunan J-ARDC yang masing-masing melibatkan RM1.5 juta untuk pembangunan Hab Fasilitasi J-ARDC dan RM500,000 lagi bagi pembangunan Pusat Informasi J-ARDC.
Hab berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang penerimaan, galeri, ruang kerja, bilik mesyuarat dan ruang pameran yang bakal menjadi platform menghimpunkan penyelidikan, perkongsian ilmu, inovasi serta jaringan strategik dalam sektor pertanian Johor.
Sehingga 31 Julai 2026, kemajuan fizikal projek telah mencapai 96.65 peratus, berbanding 32.99 peratus yang dirancang, sekali gus mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 63.66 peratus atau 53 hari.
J-ARDC turut disasarkan menjadi pusat yang menghubungkan hasil penyelidikan dengan aplikasi di lapangan, selain mempertemukan pihak kerajaan, penyelidik, institusi pengajian tinggi (IPT), pemain industri, usahawan serta komuniti pertanian dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Pembangunan pusat berkenaan dijangka menyokong peningkatan produktiviti sektor pertanian, memperkukuh sekuriti makanan, mewujudkan nilai ekonomi baharu serta meningkatkan pendapatan pemain industri dan masyarakat tani selaras dengan aspirasi Agenda Maju Johor 2030.
Terdahulu, YB Tuan Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor meninjau perkembangan semasa projek J-ARDC serta memperhalusi hala tuju pembangunan pusat berkenaan bersama Johor Biotech dan pihak berkaitan.
#JohorSafeZone
#JARDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


