YWJ TEROKA POTENSI INDUSTRI TEKSTIL UZBEKISTAN, PERKASA KAIN BENANG JOHOR

Penerokaan teknik tenunan Uzbekistan memberi ruang untuk menambah baik kehalusan, susunan jahitan serta penggunaan material dalam penghasilan Kain Benang Johor, selain membuka peluang mengembangkan penggunaannya kepada produk moden seperti beg, sarung bantal dan barangan dekorasi. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#Fergana, Uzbekistan – Usaha memperkasa industri tekstil Johor khususnya di pasaran antarabangsa terus diperkukuh menerusi penerokaan strategik Yayasan Warisan Johor (YWJ) terhadap kepakaran dan amalan terbaik tenunan di Uzbekistan sebagai rujukan dalam mempertingkat kualiti serta memperluas penggunaan Kain Benang Johor.
Antara perkara yang diberi perhatian utama ialah kualiti kehalusan dan susunan jahitan tenunan Uzbekistan yang dilihat mempunyai potensi untuk dipelajari bagi menambah baik teknik penghasilan Kain Benang Johor, sekali gus meningkatkan nilai serta kualiti produk yang akan dihasilkan kelak.
Ia juga termasuk meneliti kaedah penghasilan tenunan khususnya membabitkan aspek teknik jahitan, material serta penggunaan tekstil dalam pelbagai produk yang boleh disesuaikan dengan pembangunan tekstil Johor, jelas YBhg. Encik Nor Syazlan Abd. Razak, Pengarah YWJ.
Selain penerokaan ini akan turut membuka ruang untuk Kain Benang Johor dikembangkan daripada penggunaan seperti samping atau kain songket kepada pelbagai produk harian termasuk beg, sarung bantal, hiasan dinding dan barangan dekorasi rumah mahupun estetika penampilan diri peribadi.
Langkah tersebut penting bagi memperluas identiti Kain Benang Johor sebagai produk tekstil yang bukan sahaja mempunyai nilai berbentuk warisan semata-mata, malah ia mampu diketengahkan dalam pelbagai bentuk produk moden yang lebih dekat dengan kegunaan masyarakat.
Usaha ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Kain Benang Johor sebagai salah satu identiti tekstil negeri yang mempunyai keunikannya yang tersendiri serta berpotensi diperluas penggunaannya dalam pelbagai sektor dan kegunaan masyarakat.
Terdahulu, menerusi Program Jaringan Strategik Penghayatan Peradaban Tamadun dan Kesenian Islam di Uzbekistan, delegasi Kerajaan Johor yang diketuai YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor mengadakan lawatan ke Yodgorlik Silk Factory, Fergana bagi mendapatkan pengalaman perkongsian kepakaran dan amalan terbaik berkaitan industri tekstil di negara Asia Tengah berkenaan.
#JohorSafeZone
#Uzbekistan
#YWJ
#KainBenangJohor
#YodgorlikSilkFactory
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


