JOHOR MAHU ANAK MUDA JADI PELAPIS KEPIMPINAN KRT

Usaha itu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, perpaduan dan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda sebagai persediaan kepada mereka untuk mengambil alih peranan kepimpinan komuniti pada masa akan datang. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh penglibatan golongan muda dalam aktiviti kesukarelawanan dan kejiranan menerusi pelaksanaan Modul Jiran Muda bagi melahirkan pelapis kepimpinan membabitkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini.
Inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor itu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, perpaduan dan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda sebagai persediaan kepada mereka untuk mengambil alih peranan kepimpinan komuniti pada masa akan datang.
Sehingga kini, Johor mempunyai 886 KRT dengan anggaran 22,150 ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menguruskan komuniti melibatkan kira-kira 1.3 juta penduduk.
Selain latihan kepimpinan, Kerajaan Negeri turut memperluas pendedahan praktikal kepada golongan muda menerusi penglibatan dalam aktiviti kebajikan, pengurusan bencana serta kerjasama dengan agensi kesukarelawanan seperti Southern Volunteers (SV).
Sebelum ini, menerusi Townhall Pemerkasaan Komuniti Rukun Tetangga yang telah diadakan pada 1 November lalu berjaya menghimpunkan 1,300 ahli jawatankuasa dari 10 daerah, termasuk perkongsian pengalaman KRT Kampung Satey Pantai, Batu Pahat dan KRT Jalan Perubatan, Taman Universiti, Johor Bahru dalam menarik penyertaan anak muda.
Anak muda turut diberikan kemahiran komunikasi rentas budaya, rundingan dan asas pengantaraan bagi membolehkan mereka menangani isu kejiranan secara matang, sekali gus mengukuhkan hubungan dalam masyarakat berbilang kaum.
Terdahulu, YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menjawab mengenai usaha menggalakkan golongan muda terlibat aktif dalam aktiviti kejiranan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



